Buletin

FORD LANCAR QUICK LANE

Ford hari ini mengumumkan rancangannya untuk melancarkan lapan pusat servis Quick Lane® dalam tempoh setahun akan datang. Pembukaan tersebut adalah hasil kerjasama dengan Sime Darby Auto Connexion (SDAC) dalam usaha meluaskan rangkaian khidmat pelanggannya di Malaysia. 

Quick_Lane_logo

Kemudahan Quick Lane merupakan operasi penyelenggaraan pantas yang diadakan untuk melaksanakan servis rutin kenderaan dan pembaikan kecil yang perlu dilakukan dengan segera. Ini termasuklah penukaran minyak enjin dan penapis, sistem brek, tayar, pembaikan ringkas sistem ekzos, suspensi, membuat talaan dan penjajaran.

Para pelanggan tidak perlu membuat temu janji dan boleh menunggu ketika kenderaan mereka diselenggara. Pusat-pusat servis Quick Lane akan dibina di dalam atau hampir dengan kemudahan pengedaran Ford sedia ada. Ia juga akan dibina di lokasi lain yang  membolehkannya mudah diakses oleh pelanggan.  

“Di pusat Quick Lane, para pelanggan akan berasa yakin kerana tahu kenderaan mereka diselenggara oleh juruteknik Ford yang terlatih, selain menggunakan alat ganti dan peralatan yang tulen sahaja,” jelas Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik dan Malaysia, Ford Motor Company, David Westerman.

FPRB_FeelDiff_4C_VtHt_R02

Pusat-pusat servis Quick Lane baharu akan menawarkan khidmat penyelenggaraan yang cepat pada harga kompetitif, bukan sahaja buat kenderaan Ford yang baru dan lama, malah untuk jenama serta model-model lain di lokasi-lokasi terpilih.

Ford akan menawarkan sokongan sepenuhnya kepada para pengedar yang memiliki kemudahan Quick Lane. Sokongan itu termasuklah bantuan ketika membangunkan kemudahan, teknologi dan infrastruktur tercanggih, latihan, sokongan sewaktu pelancaran, serta pengiklanan dan pemasaran.

Pusat-pusat Quick Lane bermula di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1998. Ia kini mula dikembangkan ke Asia Pasifik untuk memenuhi keperluan yang kian meningkat terhadap perkhidmatan selepas jualan di seluruh dunia.

Di AS, Quick Lane membantu mengurangkan purata masa kunjungan ke pusat servis dari satu jam kepada kurang 30 minit.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button