
FORD LAPOR JUALAN PADA APRIL
Ford hari ini mengumumkan jualan runcit kenderaannya pada bulan April sebanyak 373 unit di Malaysia.
Secara keseluruhannya, industri automotif menyaksikan penurunan yang signifikan pada sepanjang bulan April, berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu.
“Ketika kita kian hampir masuk ke pertengahan tahun, kami menjangkakan dapat mengembalikan momentum dan terus membantu memacu prestasi kami pada tahun ini.
“Dengan pelancaran lebih banyak kenderaan Ford di Malaysia, termasuklah Everest, Ranger dan Mustang baharu, kami yakin akan mendapat sambutan memberangsangkan,” kata Pengarah Urusan, Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman.
Jualan runcit Ford pada tahun ini sehingga kini telah meningkat sebanyak 22 peratus kepada 4,984 unit.
Trak pikap Ranger yang versatil terus menjadi model Ford yang paling popular pada bulan April apabila mencatat jualan 211 unit. Sekali gus menyumbang kepada jualan pada tahun ini sehingga kini yang telah melonjak sebanyak 57 peratus kepada 3,715 unit.
Ford juga baru sahaja melancarkan Mondeo baharu di Malaysia. Sedan itu menampilkan pelbagai ciri pintar dan teknologi inovatif. Ini termasuklah sistem ketersambungan SYNC 2 dan MyKey Ford yang membolehkan pemprograman mudah banyak ciri seperti amaran pemakaian tali pinggang keledar, kelajuan dan volum audio maksimum dibuat.