
FORD PUMA RALLY1 KINI SUDAH MENDARAT DI INDONESIA
Berita rali serantau, khususnya di negara jiran Indonesia bagaikan meledak apabila kehadiran jentera Ford Puma Rally1 telah pun selamat mendarat dan beraksi di Indonesia bersempena dengan perlumbaan Sprint Rally di sana pada hujung minggu baru ini.
Perkhabaran tersebut sebenarnya telah berlegar di kalangan peminat rali Indonesia apabila terdapat seorang pelumba, Putra Rizky yang secara kebetulannya sedang bercuti bersama keluarga di Edinburg Scotland telah menghubungi Tom Krawszik yang merupakan Ketua Jualan M-Sport. Malah Putra Rizky sempat memuat naik Instagram Story memaparkan yang beliau telah berada di Ibu Pejabat M-Sport dan segalanya terus berlaku.

Ternyata usaha pasukan M-Sport Ford untuk memperjuangkan jentera Rally1 Bukan Hibrid membuahkan hasil apabila ianya kini dimiliki oleh pemandu dari Indonesia terbabit. Imbas kembali ketika bulan Jun yang lalu, Martin Sesks yang memandu debut jentera Ford Puma Rally1 Bukan Hibrid ketika perlumbaan rali di Poland seakan membuahkan hasil apabila jentera / casis tersebut kini telah pun berada di bumi Indonesia.
Benar, Putra Rizky telah pun membeli jentera / casis yang sama dipandu oleh Martin Sesks ketika beraksi di Poland. Perkhabaran ini sekali gus menjadikan Putra Rizky sebagai pemilik persendirian kedua setelah jentera yang sama dimiliki oleh seorang lagi pemandu persendirian dari Greece, Jourdan Serderidis.

Khabarnya jentera tersebut ketika Putra Rizky mengadakan perjanjian jual beli sedang berada di Estonia menuju ke Finland. Memandangkan Putra Rizky mahukannya dengan segera, maka jentera tersebut segera dipatahbalikkan bagi urusan pembuangan livery, mengecat semula serta membina semula jentera tersebut dalam tempoh hanya dua minggu.
Untuk rekod, Putra Rizky sebelum ini terlebih dahulu memiliki jentera Skoda Fabia Rally2 Evo pada tahun 2022 untuk digunakan berlumba. Dan sehingga ke hari ini, entah berapa banyaklah pula jentera Rally2 yang sudah berada di bumi Indonesia diborong oleh para Sultan di sana untuk berlumba. Semua ini disebabkan minat dan juga komitmen daripada pemerintah dan pengendali acara rali di sana bagi mempromosikan agar Indonesia dimasukkan dalam kalendar WRC pada musim 2026.

Dan hasil pertamanya Putra Rizky bersama jentera Ford Puma Rally1 ini apabila berjaya memenangi perlumbaan National Sprint Rally Championship 2024 pusingan kelima di Meikarta Speedway Festiwal.
Memang sapu habislah kan selepas ini.
Kredit Foto : www.dirtfish.com
BACA : PEMANDU INDONESIA BELI SKODA FABIA RALLY2 EVO
BACA : TOYOTA GR YARIS AP4 PULA MENDARAT DI INDONESIA. KAYA BETUL PEMILIKNYA KAN?