Pandu Uji

TOYOTA ALPHARD EXECUTIVE LOUNGE – INI BANGLO BERGERAK

Toyota Alphard membuat penampilan pertama pada tahun 2002, iaitu 22 tahun yang lalu merupakan penanda aras bagi sebuah kereta mewah yang besar berbanding dengan sedan. Bagi kebanyakan VIP, Alphard ialah kenderaan yang mereka perlukan untuk berehat sementara menuju ke tempat mesyuarat dan juga tempat untuk menyalin pakaian.

Dalam masa 22 tahun, semakin banyak pengeluar iri hati dengan kejayaan Alphard yang menguasai pasaran MPV mewah dengan menawarkan kenderaan yang sama. Sebagai contoh, Kia menawarkan model Carnival dalam varian 11, 8 ataupun 7 tempat duduk.

Keadaan ini menyebabkan Toyota tidak duduk diam dan melancarkan model Aphard generasi ke empat dengan platform TNGA-K. Bahagian luaran Alphard generasu baru nengetengahkan falsafah rekaan forceful impact luxury dan solid modern design. Cabaran untuk menghsilkan MPV berkotak ialah sangat susah untuk menghasilkan rekaan yang menarik

Kalau tersalah langkah, rekaan tersebut menjadi seperti peti ais. Sebagai contoh Alphard generasi pertama dan kedua kelihatan agak bosan dengan tiang A, B, C dan D direka seperti sebuah van penumpang biasa dan rekaan sisi menegak.

Generasi ke 4 datang dengan rekaan yang lebih unik, mengukuhkan lagi rekaan tanpa tiang (pillarless) yang digunakan oleh generasi ke 3 bagi memberi imej floating roof . Rekaan depan pula datang dengan rekaan solid luxury yang nampak berlagak dan sombong, disambung dengan garisan hud depan serta dengan rekaan shoulder line sisi.

Rekaan ini disudahkan dengan garisan huruf Z pada bahagian sisi serta ciri pengelap cermin belakang yang tersembunyi di bahagian atas. Lampu depan menggunakan teknologi adaptif dengan lampu membelok “ditanam” di bahagian jeriji depan.

Tapi paling menarik ialah warna yang digunakan seakan keemasan dengan campuran warna mutiara yang dinamakan sebagai Precious Leo Blond. Khusus untuk pasaran Malaysia ialah penggunaan enjin turbo 2400cc T24A-FTS dari keluarga Dynamic Force

Enjin ini akan menggantikan enjin 3500cc V6 aspirasi normal dan juga enjin 2000cc turbo 8AR FTS. Berbanding dengan enjin 3500cc, enjin ini menawarkan 19% lebih tork pada RPM yang rendah dan penggunaan bahan api yang lebih efisyen

Pelbagai teknologi yang disumbatkan oleh Toyota pada enjin ini seperti nisbah mampatan 11:1, turbo skroll berkembar, blok enjin aluminium, aci engkol jenis tempaan, sistem VVT-iE elektrik serta injap ekzos diisi dengan sodium bagi mengurangkan masalah knocking.

Enjin ini juga menggunakan penutup plastik khas untuk mengurangkan geseran udara serta cagak enjin dari jenis aktif untuk mengurangkan gegeran yang terhasil dari sampai ke kabin. Gear pula menggunakan sistem automatik 8 kelajuan Direct Shitf, dengan keupayaan mengurangkan kehilangan tenaga sebanyak 50% dalam sistem klac

Rekaan kabin di bahagian depan adalah seperti rekaan yang sama dengan Lexus LM termasuklah penggunaan skrin multimedia 14 inci yang digabungkan dengan suis kawalan penyaman udara fizikal. Alphard generasi ke 4 juga merupakan model pertama menggunakan skrin digital bersaiz 12.3 inci

Seperti biasa skrin 14 inci ini disambungkan dengan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar, 15 pembesar suara JBL dan juga skrin 14 inci untuk penumpang atau bos di barisan kedua. Pendek kata Alphard ialah antara ruang pejabat bergerak paling menarik yang dihasilkan oleh Toyota setakat hari ini

Skrin 14 inci menawarkan akses mudah untuk ke menu keselamatan, mengaktifkan ciri penyejukan, penyaman udara, kawalan paparan HUD serta boleh diaktifkan dengan menggunakan butang pada roda stering. Konsol di bahagian tengah boleh diakses dari 2 arah dan bertindak sebagai ruang penyejukan minuman

Rekaan kabin di barisan kedua pula mengetengahkan idea rekaan ruang peribadi, kemudahan yang mewah dan keselesaan menerusi varian Executive Lounge dengan tema kemasan yang berwarna krim ataupun beige.

Penumpang VIP ataupun bos yang duduk di bahagian tengah boleh menutup atau membuka tirai bumbung panaromic dan tirai di bahagian sisi menerusi butang fizikal ataupun menerusi butang kawalan digital yang disediakn pada bahagian kerusi.

Kerusi atau kusyen yang disediakan boleh diibaratkan sebagai kusyen kelas perniagaan untuk kapal terbang dengan balutan kulit nappa yang sebenar dan cukup lebar untuk memuatkan saiz badan yang besar.

Kusyen ini lengkap dengan ciri penyejukan, urutan, perehat kaki Ottoman dan juga penyaman udara dari syiling. Malah lebih mengujakan ialah kusyen yang disediakan menyediakan ciri memory foam dan juga anti gegaran.

Selain diserikan dengan lampu kabin 64 pilihan warna, penumpang boleh mengakses soket 3 pun 100 watt, laci simpanan, kotak simpanan, skrin 14 inci dan juga 9 poin USB yang disediakan untuk semua penumpang dan pemandu

Tempat duduk di bahagian ketiga lebih sesuai digunakan untuk 2 penumpang walaupun ia boleh memuatkan 3 penumpang dalam satu masa. Sama seperti ruang di barisan kedua, corong penyaman udara dipasang di bahagian atas dan lengkap dengan tirai sisi bantuan kuasa elektrik

Ruang barisan ke tiga boleh diakses dengan mudah menggunakan tuil fizikal ataupun dengan bantuan kuasa elektrik. Cuma ruang kargo di barisan ke 3 adalah terhad, dengan ruang lantai digunakan sebagai ruang untuk menyimpan tayar kecemasan

Memandu Alphard dengan berat mencecah sehingga 2300kg bukanlah satu perkara ynag mengujakan, apatah lagi digabungkan dengan jarak antara roda yang panjang serta cesi yang tinggi menyebabkannya mudah mengalami pergerakan pitch dan olengan cesi semasa mengambil selekoh.

247 kuasa kuda dan 430Nm tork yang dihasilkan adalah cukup untuk pemanduan yang selesa dan bukanlah ditala untuk berlumba. Alphard akan memulakan perjalanan dengan selesa bila pedal minyak ditekan, dan akan meraung jika anda memandu terlalu agresif

Jika dipandu secara berhemah, penggunaan petrol adalah sekitar 13.1km bagi setiap liter petrol, jauh lebih baik berbanding dengan angka rasmi 11km/liter. Jika dibandingkan dengan Kia Carnival, Kia mungkin jauh lebih jimat (purata terbaik penulis ialah 25km/liter) dan terasa lebih berkuasa.

Operasi brek adalah lembut dan selesa serta pada masa yang sama cukup meyakinkan untuk menghentikan MPV berat ini. Gabungan tayar Michelin pula membolehkan Alphard mengekalkan halaju di lebuhraya ketika hari hujan dengan bersahaja.

Sistem suspensi depan menggunakan topang McPherson manakala suspensi belakang menggunakan Double Wishbone, dengan operasinya ditala khas untuk keselesaan bukannya prestasi. Jadi ia boleh menyerap jalan beralun dengan baik dan akan mengalami olengan cesi sewaktu mengambil selekoh diikuti dengan understeer jika anda terus menekan pedal minyak.

Operasi stering adalah mudah, ringan dan senang digunakan terutama bagi operasi parkir terutama sekali dengan bantuan kamera 540 darjah. Bagi NVH, ruang pemandu mencatatkan bacaan sekitar 59dB pada halaju 110km/jam. Namun penulis perasan terdapat sedikit bunyi pusaran angin pada tiang A

Dalam aspek keselamatan, Alphard diberikan semua ciri Toyota Safety Sense merangkumi lampu depan adaptif, Adaptive Cruise Control, kamera yang cukup terang serta AEB dan juga Road Sisgn Assist yang akan sentiasa memantau papan tanda di tepi jalan

Namun terdapat beberapa perkara yang tidak disukai oleh penulis seperti ketiadaan handgrip pada tiang A di ruang pemandu yang menyukarkan sedikit proses keluar masuj. Kusyen pemandu juga tidak disediakan ciri urutan dan juga ruang kargo yang sedikit terhad.

Dengan harga RM 538,000 mungkin Toyota Alphard Executive Lounge dirasakan cukup mahal bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Tetapi percayalah bahawa tempoh menunggu Toyota Alphard ini mencecah sehingga setahun dan pembeli yang membeli MPV mewah ini dengan tunai, bukan hutang

Ya biarpun Alphard dihimpit persaingan dari segenap arah, namun Alphard masih lagi mengekalkan status quo sebagai sebuah MPV mewah pilihan kebanyakan VIP.

Google ads
Back to top button