Buletin

FORD RANGER XLT PLUS TAWAR NILAI UNTUK WANG ANDA

Jika diperhatikan sekarang ini tawaran kenderaan pelbagai fungsi seperti pikap semakin meriah. Pengeluar semakin agresif memasarkan produk mereka di mana pikap bukan lagi dilihat sebagai kenderaan lasak semata-mata.

Pemilik pikap tidak semestinya seorang ‘tauke’ atau kontraktor, tetapi sudah merangkumi golongan profesional dan eksekutif atau mereka yang gemarkan gaya hidup aktif.

Ada pemilik pikap tidak pernah off-road. Malah mereka sukakan gaya sebuah pikap disebabkan imej rugged, jarak penglihatan yang baik dan senang meredah air terutama sekali semasa hujan lebat dan banjir kilat

Sekarang ini pengguna disajikan pelbagai pilihan pikap dalam pasaran. Namun yang mencuri perhatian ialah jenama Amerika Syarikat iaitu Ford Ranger. Pikap ini hadir dengan gaya ranggi dan imej gagah sejak belasan tahun dahulu lagi.

Pakej kompemchampion!

SDAC Ford sebagai pengedar Ford di Malaysia faham ‘kegilaan’ rakyat Malaysia dengan fenomena ini.

Untuk itu, SDAC Ford memasarkan sembilan varian! Iya, sembilan varian untuk dipilih pengguna dari model paling asas single cab manual ke Wildtrak dan versi gagah perkasa Ranger Raptor, kompemchampion!

Satu lagi ragam pembeli tempatan ialah bijak membeli menang memakai, mereka mahukan sesuatu yang berbaloi untuk wang.

Jika anda sedang mencari sebuah pikap sekarang ini, usah pening-pening sebab Ford Ranger XLT Plus adalah senarai pendek yang baik kerana ia didatangkan dengan kombinasi enjin canggih dan jimat minyak pada harga ditawarkan.

Ranger XLT Plus dikuasakan oleh enjin baharu dengan sesaran rendah iaitu 2.0 L Si Diesel Turbo.

Nampak seperti enjin yang kecil, tetapi kuasanya tinggi iaitu 180 PS dan tork 420 Nm. Paling penting cukai jalan yang dibayar setahun sekali tersebut tidak membebankan sangat. Enjin 2.0 L, cukai jalan tak sampai RM500 setahun.

Varian paling dekat dengan XLT Plus 2.0 ialah Ranger XLT Auto 2.2 berharga RM116,888. Tambah lagi RM8,000 anda dapat memiliki Ranger XLT Plus dengan enjin baharu pada harga RM124,888.

Satu lagi perbezaan ketara di antara XLT Auto 2.2 dan XLT Plus 2.0 ialah kuasa enjin yang lebih tinggi. Enjin 2.2L tersebut berkuasa 160 PS dengan tork 385 Nm dan lebih rendah daripada XLT Plus 2.0 L.

Selain daripada enjin baharu, terdapat beberapa lagi keistimewaan pada XLT Plus 2.0. Di antaranya ialah transmisi canggih 10 kelajuan automatik yang dapat memberi kelegaan kepada enjin sewaktu dipandu santai di atas lebuh raya.

Satu lagi ciri yang sangat membantu untuk sebuah pikap ialah pintu kargo dengan Easy Lift Tailgate. Ranger XLT Plus mempunyai fungsi ini dan pertama untuk pikap di Malaysia. Dengan Easy Lift Tailgate, pengguna tidak perlu risau pintu jatuh terhentak atau laju ke bawah.

Kelengkapan seperti kereta sedan

Kelengkapan dalaman juga hebat. SDAC Ford melengkapi varian ini dengan kerusi balutan kulit, penyaman udara dua zon, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, skrin 8-inci dengan sistem kawalan suara infohibur SYNC3, anda kini boleh menggunakan aplikasi kegemaran anda seperti Waze melalui Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari luaran pula varian ini dipasangkan dengan roda aloi dan tayar bersaiz lapan belas inci. Bahagian hadapan diserlahkan lagi dengan lampu projektor HID automatik dan lampu pencahayaan siang LED.

Kelengkapan pada XLT Plus ini sudah ibarat kereta sedan yang penuh dengan gajet dan teknologi. Apabila bercakap tentang sedan dan pikap, satu perkara yang perlu diambil kira ialah keselesaan penumpang belakang.

Syukurlah kerana pereka Ford mementingkan aspek ini. Ruang dalaman Ranger masih selesa walaupun ia sebuah pikap dan ergonomik dalam memandunya terasa seperti kereta sedan manakala kerusi belakang tidak terlalu tegak.

Ini penting supaya penumpang belakang tidak pening dan sakit belakang dalam perjalanan jauh.

Ranger XLT Plus untuk pelbagai golongan pengguna

Jika hati anda sudah terpaut kepada Ranger, varian XLT Plus ini sebenarnya adalah gabungan pakej yang ditawarkan pada Ranger XL, XLT, Wildtrak dan Raptor.

Ranger XLT Plus sesuai untuk semua dan ia berada di tengah-tengah sembilan varian Ranger. Ia jimat jika anda seorang peniaga sebab cukai jalan rendah, minyak jimat kerana enjin hanya 2.0L dan mampu bawa muatan sehingga satu tan!

Jika anda berkeluarga, harganya setara dengan kereta penumpang segmen C jenama import. Tetapi Ranger lebih lasak, ranggi dan banyak kegunaan termasuk meredah air sehingga 800mm jika berlakunya banjir kilat.

Fungsi keselamatan canggih

Selain semua ciri-ciri di atas, pengguna tempatan juga cerewet dengan kelengkapan keselamatan. Ranger XLT Plus dilengkapi sejumlah teknologi seperti dua beg udara, kamera undur dan poin ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.

Kelengkapan elektronik pula terdiri daripada ABS EBD, ESC dengan Kawalan Cengkaman (TC), Bantuan Brek Elektronik (EBA), Kawalan Penurunan Curam (HDC), Bantuan Mula Daki (HLA) dan khusus untuk pikap ialah Trailer Sway Control (TSC) dan Adaptive Load Control (ALC).

TSC berfungsi supaya bahagian kargo tidak ‘melelong’ ke kiri dan kanan tanpa kawalan. Manakala ALC pula melaras sistem kawalan penstabilan (ESC) mengikut bebanan yang dibawa. Fungsi ini dapat memastikan kenderaan selamat dan stabil sama ada muatan kosong atau penuh.

Dari segi kosmetik pula, Ford Ranger XLT Plus 2.0 menawarkan lima warna menarik iaitu Aluminium Metallic, Lightning Blue, Frozen White, Magnetic dan Absolute Black.

Jika anda sedang mencari sebuah pikap seperti Ranger, nasihat kami ialah cuba saksikan sendiri di bilik pameran terdekat.

Ambil masa untuk meneliti spesifikasi dan cuba pandu uji dan fahami kenapa begitu ramai pengguna memilih pikap sebagai kenderaan mereka. Selamat mencuba bro dan sis!

Tags
Google ads
Back to top button