Buletin

NISSAN MICRA 2019, CANTIK KAN?

Di antara model Nissan yang tidak ditawarkan di negara kita ialah March atau Micra.

Pada satu masa dahulu March memang popular kerana satu segmen dengan Toyota Starlet, Daihatsu Charade dan Suzuki Swift.

Setelah lama tidak ditawarkan, Nissan March generasi ketiga (K12) tampil dalam bentuk Impul 112S yang dibawa masuk oleh pengimport bebas ke negara kita.

Itulah kali terakhir March ditawarkan secara massa.

Di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, March generasi keempat ditawarkan kepada pengguna dan menariknya di Thailand ia dijual di bersama sebuah lagi kereta bandar iaitu Note.

March atau Note, kedua-duanya tidak ditawarkan di negara kita.

Di Eropah, March dikenali sebagai Micra dan model generasi kelima (K14) ditawarkan sejak tahun 2017.

Model yang mempunyai kaitan dengan Renault Clio dan Captur tampil segak dengan gaya bahasa baharu Nissan.

Anehnya Micra ini tidak pula dijual di Thailand atau Indonesia. Ia sepatutnya menggantikan March K13.

Memasuki tahun 2019, Micra pasaran Eropah tampil dengan tiga tawaran enjin baharu.

Enjin tersebut ditawarkan bersama dua enjin sedia ada iaitu 1.0 liter 71 PS dan 1.5 liter 90 PS diesel.

Selain enjin, Nissan turut memberikan varian baharu yang lebih sporti iaitu Micra N-Sport.

Tiga enjin baharu pada Micra ini adalah hasil daripada kerjasama di antara Perikatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Tiga enjin baharu tersebut ialah:

  • 1.0-litre IG-T 100 PS manual
  • 1.0-litre IG-T 100 PS Xtronic
  • 1.0-litre DIG-T 117 PS manual

Nissan Micra generasi kelima pertama kali dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Paris 2016. Model ini menerima sambutan positif daripada pengguna dan industri automotif.

Di antara tahun 2016 dan 2018 jualan Micra di Eropah telah meningkat sebanyak 21 peratus dan model ini pernah disenarai pendek di dalam tujuh pesaing Anugerah Kereta Eropah 2017.

Walaupun berada dalam segmen B, Micra dilengkapi teknologi Nissan Intelligent Mobility seperti Intelligent Lane Intervention dan Intelligent Emergency Braking dengan Pedestrian Recognition.

Dengan reka bentuk mengancam begini wajar rasanya jika hendak ‘membawang’ kenapa ia tidak dipasarkan di negara kita.

Cuma itulah, di Thailand dan Indonesia model ini juga tidak ditawarkan, kurang sikit rasa nak membawang tersebut.

BACA: NISSAN GT-R50 by ITALDESIGN SAH DIJUAL, BOLEH TEMPAH PADA HARGA…

BACA: APA KHABAR NISSAN MURANO? INI MODEL 2019 YANG TAMPAN DAN TAJAM

Tags
Google ads
Back to top button