Buletin

GAMBAR INTIP: LAMBORGHINI URUS BERTUGAS SEBAGAI JENTERA PENYELAMAT

Lamborghini nampaknya masih lagi belum puas menguji tahap versatiliti model-model sedia ada, dan tidak mengejutkan apabila pengeluar itu kerap kali dilihat menguji model-model yang bakal ditawarkan dalam kondisi cuaca yang ekstrem.

Terbaharu, sebuah jentera penyelamat Lamborghini Urus dikesan oleh saluran YouTube Varryx yang sarat dengan modifikasi berorientasikan off-road keluar dari ibu pejabat di Sant’Agata Bolognese.

Sebagai makluman, jentera Urus berwarna hitam kuning ini sebenarnya muncul beberapa kali sebelum ini sewaktu Lamborghini sedang menguji unit prototaip Huracan Sterratto di Sweden pada awal tahun lalu.

Antara modifikasi yang dibuat pada Urus ini adalah pemasangan rak bumbung, lampu LED tambahan untuk semua arah, besi pelindung bampar pada bahagian depan dan belakang, diikuti dengan tempat meletak tayar simpanan di bahagian belakang.

Selain daripada itu, Urus ini juga turut dipasangkan cangkuk tunda, namun sistem gantungan dilihat masih lagi sama seperti model Urus standard.

Lamborghini Urus merupakan antara model super SUV yang paling laris terjual, dengan 20,000 unit sudah pun berjaya diedarkan selama tempoh empat tahun sahaja.

Google ads
Back to top button