Buletin

GARA-GARA GOOGLE MAPS, TIGA LELAKI MAUT TERJUNAM KE DALAM SUNGAI

Tiga lelaki maut apabila kenderaan yang dinaiki terjunam ke dalam sungai selepas mengikuti laluan ditunjukkan oleh Google Maps melalui sebuah jambatan rosak.

Insiden tragis itu berlaku di atas jambatan menyeberangi Sungai Ramganga, India yang telah mengalami kerosakan teruk akibat banjir beberapa bulan lalu.

Menurut laporan, ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan dari Gurugram ke Bareilly di Uttar Pradesh ketika tragedi itu berlaku.

Google Maps menunjukkan bahawa laluan tersebut selamat untuk dilalui, walaupun jambatan itu telah rosak dan tiada hadangan keselamatan diletakkan di kawasan tersebut.

Insiden berlaku pada waktu malam, menyebabkan bantuan segera sukar diperoleh. Pada pagi Ahad, penduduk kampung Khallpur menemui kenderaan mangsa di bawah jambatan yang tidak lengkap dan segera memaklumkan pihak berkuasa.

Pasukan polis dari Faridpur dan Dataganj tiba di lokasi untuk operasi menyelamat. Pegawai Kanan Faridpur, Ashutosh Shivam, mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan bot.

Ketua Polis Faridpur, Rahul Singh berkata ketiga-tiga mangsa bergantung kepada panduan Google Maps semasa kejadian.

Identiti mangsa telah dikenalpasti sebagai Nitin Kumar (30), Ajit Kumar (35), dan Amit Kumar (30). Dua daripada mereka berasal dari Farrukhabad dan bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat keselamatan di Gurugram, manakala Amit berasal dari Mainpuri.

Tambahnya lagi, mereka dalam perjalanan menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

Keluarga mangsa kini menuntut jawapan berhubung ketiadaan langkah keselamatan di jambatan tersebut.

“Mereka memeriksa laluan menggunakan Google Maps dan terjunam dari jambatan yang tidak lengkap. Jalan sepatutnya ditutup, tetapi tiada sekatan diletakkan. Peta juga tidak sepatutnya menunjukkan bahawa jambatan itu boleh dilalui,” kata Pramod Kumar, abang ipar salah seorang mangsa.

Insiden ini mengundang persoalan bukan sahaja terhadap ketepatan data Google Maps tetapi juga tanggungjawab pihak berkuasa tempatan dalam memastikan keselamatan di lokasi berisiko.

Biasanya, apabila sesuatu infrastruktur seperti jambatan runtuh, Google Maps akan mengemas kini maklumat untuk menunjukkan jalan itu ditutup.

Namun, dalam kes ini, maklumat tersebut gagal dikemas kini tepat pada masanya.

Google ads
Back to top button