" "
Buletin

GEELY AUTO LANCAR KILANG CKD DI MESIR, KELUARKAN EMGRAND, COOLRAY

Geely Auto telah memulakan pengeluaran dua model terlaris syarikat di peringkat dunia iaitu Coolray dan Emgrand di kilang BAMC yang terletak di 6th of October City, Giza, Mesir.

Di antara tetamu kehormat yang hadir Perdana Menteri Mostafa Madbouly dan Timbalan Perdana Menteri Kamel al-Wazir.

Sebagai kemudahan pemasangan unit komponen terurai (CKD) pertama Geely di Afrika dan Timur Tengah, kilang canggih ini akan menjadi pemangkin kepada permodenan sektor pengilangan automotif Mesir.

Kilang CKD Geely merupakan kemudahan canggih pertama di Mesir yang mampu menghasilkan kedua-dua model sedan dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di dalam barisan pengeluaran sama.

Beroperasi mengikut piawaian dunia Geely, kilang ini mematuhi sistem pengurusan mutu yang ketat dan memperolehi pelbagai persijilan antarabangsa seperti IATF16949, ISO 14001 dan ISO 45001.

Dengan kapasiti tahunan sekitar 30,000 unit dalam tempoh tiga tahun akan datang, kilang ini bersedia untuk mengembangkan usaha penyetempatan dengan memasang model tambahan dalam masa terdekat.

Dua model yang dipilih iaitu Coolray mencatatkan jualan dunia melebihi sejuta unit manakala Emgrand berada di landasan untuk mencapai empat juta pengguna.

Bagi mengukuhkan hubungan dengan pelanggan tempatan, Geely telah membangunkan rangkaian operasi yang terdiri daripada 45 pusat jualan dan penyelenggaraan di seluruh Mesir.

Di dalam satu perkembangan lebih awal, Proton telah membuka kilang CKD di Taman Industri Al Oula di Giza dan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2024 dan dihadiri Kamel al-Wazir.

Kilang ini dimiliki Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) dan mempunyai kapasiti pengeluaran 20,000 unit setiap syif.

Dari segi model, kilang ini akan mengeluarkan 16,000 unit Proton Saga bagi tempoh 2024 sehingga 2024 dengan nilai jualan dianggarkan berjumlah RM570 juta.

Mungkin ada yang tertanya apa jadi dengan hubungan di antara Geely dan PROTON di peringkat antarabangsa?

Masih belum jelas dan nampaknya sesebuah negara diagihkan mengikut jenama sebagai contoh PROTON tidak hadir di Indonesia dan Thailand di mana Geely sudah mula menjual model keluarannya.

Di pasaran lain seperti Afrika Selatan PROTON telah menawarkan produk berasaskan Geely dengan pemanduan kanan seperti X50, X70 dan X90. PROTON juga turut menjual di beberapa negara lain.

Satu lagi yang menarik, PROTON telah mengeksport 200 unit X50 pemanduan kiri ke Vietnam.

Pasaran pemanduan kiri yang dimasuki PROTON kini terdiri daripada Iraq dan Jordan selain Mesir dan hanya menawarkan Saga.

Apa yang pasti, Geely dan PROTON kini sama-sama mempunyai kemudahan pemasangan di Mesir dan menarik untuk mengetahui langkah-langkah atau sinergi seterusnya.

Persaingan di antara satu kumpulan automotif adalah perkara biasa seperti yang boleh dilihat pada Kia – Hyundai, Volkswagen – Škoda atau Ford – Mazda sebelum ini.

Google ads
Back to top button