
PERODUA, UTM JALIN KERJASAMA BANGUNKAN GENERASI BAHARU xEV
Perodua dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan generasi baharu kenderaan elektrik (xEV) di Malaysia.
Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem automotif negara melalui pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dalam bidang berkaitan kenderaan elektrik.
MoU ini merangkumi pelbagai aspek penting, termasuk pendidikan dan latihan bagi melahirkan jurutera baharu yang kompeten dalam teknologi xEV.

Melalui kerjasama ini, pelajar dan penyelidik UTM akan mendapat manfaat daripada akses kepada kepakaran industri, sekali gus mengukuhkan hubungan antara akademia dan sektor automotif.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Rosli Md Illias menekankan bahawa potensi kerjasama ini adalah untuk memacu kelestarian mobiliti di Malaysia.
“Kerjasama ini menunjukkan kepentingan merapatkan jurang antara akademia dan industri dalam memperkasakan graduan dengan kemahiran serta pengetahuan yang relevan,” katanya.
Perjanjian ini memberi tumpuan kepada enam elemen utama, antaranya memperkukuh kurikulum akademik UTM dalam kursus kejuruteraan dan bidang berkaitan, serta menubuhkan sebuah makmal satelit di kampus utama UTM di Skudai, Johor.
Makmal ini akan menjadi pusat inovasi bagi membolehkan kedua-dua pihak bertukar pengetahuan serta menjalankan penyelidikan bersama berkaitan teknologi xEV.
Selain itu, Perodua dan UTM akan bekerjasama dalam program pembangunan bakat dan latihan, termasuk pendedahan kepada ahli akademik serta jurutera mengenai teknologi terkini dalam bidang automotif.
Bukan itu sahaja, ia turut membuka peluang untuk meneroka bidang lain yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab automotif serantau.
- BACA: MOT, JPJ BINCANG APLIKASI JUAL BELI MOTOSIKAL TERPAKAI DIINTEGRASI MYSIKAP
- BACA: TERKINI: SYM ADXTG 400 MASUK MALAYSIA TAHUN INI – BAWAH RM35K?
- BACA: HYUNDAI E3W DAN E4W CONCEPT DIPERKENAL, KERJASAMA DENGAN TVS, TEKSI RODA 3 VERSI BAHARU?
- BACA: BOMBARDIER CANADAIR 415 SUPERSCOOPER, BOMBA TERBANG DENGAN 6000 LITER AIR