Buletin

GEELY HOUYUE – 2 PILIHAN ENJIN TURBO, MAHU SAINGI MAZDA CX-8

Selepas memperkenalkan model Jia Ji, Geely kini tampil dengan satu lagi model baharu yang dikenali sebagai Haoyue atau VX 11.

Dimensi SUV dengan tiga baris tempat duduk itu dikatakan besar dan hampir menyamai saiz Mazda CX-8.

Tidak banyak maklumat tentang Haoyue. Namun, ia dipercayai akan menggunakan khidmat dua pilihan enjin tiga selinder bersesaran 1.5 liter (174 hp/255 Nm) atau enjin empat selinder 1.8L berkuasa 181hp dan tork 300Nm.

Enjin itu kemudian akan dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan atau klac berkembar tujuh kelajuan.

Jika dilihat dari sudut luaran, reka bentuknya sedikit berbeza dengan SUV lain Geely seperti Boyue (X70) dan Binyue (X50). Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril Expanding Cosmos bersama logo Geely berwarna hitam.

Manakala sistem lampunya menggunakan teknologi LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED.

Dari arah sisi, karekter sebuah SUV dipertingkatkan menerusi cladding plastik pada arca roda bersama rim bersaiz 19 inci.

Geely didakwa bakal memperkenalkan Houyue di pasaran China pada tahun ini. Jangan gembira dahulu, sebab belum dapat dipastikan sama ada ia akan dipasarkan di Malaysia dengan emblem Proton atau tidak.

Google ads
Back to top button