Buletin

GEELY ICON DENGAN TRIM OFF-ROAD MUNCUL DI CHINA – FWD, JANA 178HP

Geely Icon, sebuah SUV kompak yang dilancarkan di China pada tahun 2020, bakal menerima varian terbaru dengan trim luaran off-road.

Tampil lebih garang, model ini kini tampil dengan lengkung roda yang lebar, bampar besar, dan rak bumbung, menjadikan reka bentuknya kelihatan lebih gagah.

Namun begitu, gaya baru ini agak janggal memandangkan Geely Icon hanya mempunyai pacuan roda hadapan (FWD) dan dibangunkan atas platform BMA, di mana ia lebih sesuai untuk perjalanan dalam bandar.

Dilancarkan empat tahun lalu, Geely Icon pada asalnya tampil dengan reka bentuk yang segar dan unik.

Namun, prestasi jualan model ini tidak begitu memberangsangkan jika dibandingkan dengan model Geely yang lain.

Sehingga kini, jumlah jualan runcit kumulatifnya hanya mencapai 96,173 unit di China. Walau bagaimanapun, Geely terus memberikan kemas kini tahunan kepada model ini, dan kemas kini terbaharu ini mungkin paling berani setakat ini.

Dalam gambar rasmi yang didedahkan, varian terbaru Geely Icon mengekalkan bahasa reka bentuk asal, tetapi dengan penambahan bampar lebih besar dan lengkung roda lebih lebar.

Ia juga dilengkapi plastik kelabu pada bahagian pintu, serta rak bumbung yang melengkapi bentuk bloky SUV ini.

Selain itu, cermin sisi berbentuk segi empat dan tiang hitam turut memberikan sentuhan yang lebih moden.

Namun, dengan lengkung roda yang lebih lebar, Geely Icon kini kelihatan lebih besar berbanding model asal.

Tetapi kekurangan utama pada model ini ialah jenis pacuannya – hanya menawarkan pacuan roda hadapan, menjadikan ia sekadar sebuah crossover keluarga yang tampak seperti SUV off-road.

Oleh itu, segmen pasaran bagi model ini dilihat agak tidak kena, kerana ia mungkin menarik minat pembeli yang inginkan kenderaan off-road tanpa niat sebenar untuk menjelajah laluan lasak.

Dengan penambahan trim off-road ini, dimensi Geely Icon kini menjadi lebih besar, iaitu 4,442/1,860/1,770mm dengan jarak roda sepanjang 2,640mm.

Secara mekanikal, Geely Icon dilengkapi enjin turbo 1.5 liter, mampu menghasilkan 178hp dan dipadankan dengan kotak gear 7DCT.

Tarikh pelancaran Geely Icon versi terbaru ini masih belum diumumkan. Namun begitu, model ini sudah pun memohon lesen jualan di China, menunjukkan ia sudah hampir bersedia untuk dipasarkan dalam masa terdekat.

Google ads
Back to top button