Motosikal

APRILIA RS457 LANCAR DI MALAYSIA 11 OKTOBER INI – RM29,XXX?

Sekitar bulan Julai lalu, kami telah pun melaporkan bahawa model serba baharu, Aprilia RS457 akan dilancarkan di Malaysia pada suku ketiga tahun ini. 

Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa motosikal ‘sportsbike’ itu akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 11 Oktober ini.  Pelancaran akan dilangsungkan pihak Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia. 

Difahamkan, RS457 itu akan ditawarkan dengan harga RM29,XXX bagi beberapa unit awal dan bakal hadir dengan tiga warna pilihan;  Prismatic Dark, Racing Stripes dan Opalescent Light. 

Atas kertas, Aprilia RS 457 dikuasakan enjin dua silinder (parallel-twin) 457cc yang berupaya menjana 47hp dan 43.5Nm.  Aspek yang cukup mengagumkan adalah nisbah kuasa kepada berat ekoran hanya 158kg. 

Aprilia RS 457 juga tidak ketinggalan dari aspek elektronik yang merangkumi sistem Ride-by-Wire yang menawarkan tiga mod enjin yang mengawal aliran kuasa, tork dan ‘traction control’. 

Dibangunkan sepenuhnya di Noale, Itali, Aprilia menyifatkan RS 457 sebagai pengisi jurang antara RS 125 dan RS 660 sekaligus menyempurnakan barisan keluarga RS termasuk RSV4 dan jentera MotoGP RS-GP. 

Selain itu, RS 457 ini juga datang dengan pencahayaan LED penuh termasuk lampu nyalaan siang (DRL). Juga tidak ketinggalan, panel meter TFT 5-inci. 

Pakej suspensi pula terdiri daripada fork 41mm depan dengan jarak pergerakan 120mm dan monoshock belakang yang dipadankan bersama ‘swingarm’ keluli yang menawarkan jarak pergerakan 130mm.

Sistem brek pula terdiri daripada brek ByBre 4-pot dengan cakera 320mm depan dan 220mm belakang. ABS dwi-saluran pula memastikan operasi brek lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan. 

Lebih menarik, Aprilia turut melengkapkan RS 457 dengan fungsi ‘quickshifter’ (atas/bawah) sebagai aksesori tambahan. Bagaimanapun tidak pasti sama ada ciri ini akan didatangkan secara standard atau ditawarkan sebagai opsyen tambahan untuk pasaran tempatan.

Google ads
Back to top button