Buletin

GERIK MEGATRAIL 6.0: 180 JENTERA 4X4 TEMPUH CABARAN MERENTASI HULU PERAK

Aksi lasak jentera pacuan empat roda kembali menggegarkan Hulu Perak menerusi GERIK MEGATRAIL 6.0, yang kini memasuki edisi keenam penganjurannya.

Acara tahunan yang menyatukan peminat sukan off-road, pencinta alam dan penggiat kembara ini sekali lagi menjadi medan pertemuan puluhan kelab 4×4 dari seluruh negara, bersama merentasi denai hutan, banjaran bukit serta laluan ekstrem.

Acara yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini bermula dengan pelepasan rasmi di Lapangan Terbang Gerik, yang disempurnakan oleh YB Dato’ Salbiah Mohamed.

Antara kelab yang turut serta dan menyemarakkan lagi suasana adalah KUALA KANGSAR ROYAL TOWN 4X4 serta PERAK 4WD, yang bergabung tenaga dan kekuatan jentera demi menyokong aktiviti permotoran sihat seperti ini.

Dengan lebih 40 jentera daripada dua kelab tersebut, mereka menyertai hampir 180 jentera 4×4 lain dari pelbagai pelusuk negeri, menjadikan GERIK MEGATRAIL 6.0 sebagai salah satu konvoi 4×4 terbesar yang pernah dilaksanakan di kawasan ini.

Para peserta dibahagikan mengikut kumpulan masing-masing dan diiringi oleh track guide berpengalaman serta pasukan marshall bagi memastikan kelancaran perjalanan sepanjang laluan kembara.

Program ini bukan sahaja menjadi pentas untuk menguji kemampuan jentera dan pemandu, malah menjadi jambatan untuk mengeratkan ukhuwah antara ahli kelab serta peserta baharu.

Aktiviti seperti perkhemahan dalam hutan, kerjasama merentas halangan, dan menikmati keindahan semula jadi Hulu Perak telah memberikan pengalaman luar biasa yang sukar dilupakan.

Menurut jurucakap dari KUALA KANGSAR ROYAL TOWN 4X4, penyertaan dalam program seperti ini amat penting dalam membentuk semangat setiakawan serta menyemarakkan budaya permotoran yang sihat dan bertanggungjawab.

Tambahnya lagi, kolaborasi bersama PERAK 4WD turut membuktikan bahawa perpaduan antara kelab mampu menjayakan program berskala besar dan mencabar seperti GERIK MEGATRAIL 6.0.

Kedua-dua kelab merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur GERIK MEGATRAIL, track guide, pasukan marshall, dan semua agensi yang terlibat atas usaha dan komitmen mereka menjayakan acara ini.

GERIK MEGATRAIL 6.0 sekali lagi membuktikan bahawa semangat kembara dan cinta akan alam semula jadi mampu menyatukan komuniti 4×4 dari pelbagai latar belakang, menjadikan Hulu Perak sebagai destinasi wajib dalam kalendar penggemar dunia pacuan empat roda tanah air.

Google ads
Back to top button