
INFLUENCER DIDAKWA SELEWENG FAKTA, AVATR TUNTUT GANTI RUGI RM9.8 JUTA!
Pengeluar kenderaan elektrik dari China, Avatr Technology, telah mengambil langkah undang-undang terhadap seorang influencer media sosial terkenal yang dikenali sebagai “Zurich Beileye”, dengan menuntut ganti rugi sebanyak 10 juta yuan (kira-kira RM9.8 juta).
Tindakan itu diambil susulan dakwaan influencer tersebut yang didakwa memutarbelitkan fakta berkenaan prosedur ujian aerodinamik kenderaan mereka.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh jabatan undang-undang Avatr pada 13 Mei 2025, syarikat itu menjelaskan bahawa video ‘permohonan maaf’ yang dimuat naik oleh Zurich Beileye sebenarnya terus menyebarkan maklumat tidak tepat.
Video itu mendakwa bahawa Avatr menggunakan kereta prototaip dan bukannya model pengeluaran sebenar dalam sesi penstriman langsung ujian pekali seretan mereka.

“Pencipta kandungan ini telah mengeluarkan kenyataan di luar konteks serta sengaja mencetuskan kekeliruan awam. Tindakannya telah menjejaskan lagi kefahaman umum terhadap hasil ujian kami serta penerimaan terhadap produk, sekali gus menjejaskan reputasi jenama kami,” ujar Avatr dalam kenyataan tersebut.
Sengketa ini bermula apabila Zurich Beileye mempertikai kesahihan ujian pekali seretan untuk model Avatr 12, dengan mengisyaratkan bahawa keputusan ujian mungkin telah dimanipulasi.
Sebagai reaksi, Avatr segera menjalankan semula ujian dan menghantar notis undang-undang kepada influencer terbabit, menuntut penarikan semula semua kenyataan tidak benar serta permohonan maaf terbuka.

Walaupun video permohonan maaf telah dimuat naik seperti yang diminta, Avatr mendakwa kandungan video tersebut telah disunting secara terpilih.
Ia menggambarkan seolah-olah syarikat itu menggunakan model prototaip semasa ujian, lalu mencetuskan gelombang kritikan baharu terhadap Avatr.
Sebagai makluman, Avatr menegaskan bahawa ujian tersebut melibatkan model pengeluaran sebenar Avatr 12, sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya yang lengkap dengan cermin sisi elektronik, bukan prototaip seperti didakwa.
Penjelasan ini turut dikongsikan melalui akaun rasmi media sosial syarikat selepas ujian selesai.
Avatr menutup kenyataan mereka dengan memberi amaran bahawa ruang digital bukanlah kawasan bebas undang-undang.
Syarikat itu akan terus mempertahankan hak serta kepentingannya termasuk para pengguna daripada sebarang tuduhan palsu atau penyebaran fitnah melalui saluran undang-undang.