Buletin

GOPINJAM DAH MACAM AHLONG BERLESEN. KADAR FAEDAH TIDAK MASUK AKAL, BOLEH JERAT LEHER RAKYAT!

Kadar faedah antara lapan hingga 36 peratus dalam program pinjaman peribadi atau GOPinjam ditawarkan Kumpulan Touch ‘n Go (TNG) disifatkan tidak munasabah, terlalu tinggi dan boleh menjerat rakyat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mendakwa kadar faedah program pinjaman peribadi berkenaan adalah tertinggi dalam pasaran kredit dan ditawarkan dengan kadar perolehan yang sangat mudah.

Katanya, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz seharusnya tampil memberikan penjelasan berkaitan langkah TNG berkenaan.

“Langkah TNG memperluaskan jaringan perkhidmatannya dengan menawarkan program pinjaman peribadi terbaharu atau GOpinjam adalah baik. Namun kadar faedahnya, antara lapan hingga 36 peratus adalah tidak munasabah dan terlalu tinggi.

“Kepatuhan kepada kawalselia Bank Negara Malaysia (BNM) bukan persoalannya di sini. Yang dipersoalkan ialah semua ini akan menjerat rakyat ke kancah keberhutangan yang parah dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, program berkenaan disasarkan kepada golongan B40 yang keadaan kewangannya sudah tertekan. Melihat kepada kadar faedah itu, katanya, ia dilihat seperti skim pinjaman berlesen along yang menjerat leher peminjam. “Mustahil untuk dilangsaikan bagi mereka yang sudah mengalami kesulitan kewangan,” katanya.

Mohamad berkata, BNM seharusnya menyekat model pinjaman kredit sebegini demi melindungi golongan B40 dan anak muda yang berisiko tinggi daripada terjerumus ke dalam kancah hutang peribadi yang sememangnya sudah sangat tinggi dalam negara ini.

Tambahan pula, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk akhir tahun 2021 adalah pada kadar 89 peratus, antara yang tertinggi berbanding ekonomi serantau.

“Ekonomi kewangan rumah tangga akan menjadi parah dengan timbunan hutang yang tinggi kadar faedahnya, di samping pendapatan yang rendah. Akhirnya, ia akan memusnahkan kesejahteraan sesebuah keluarga.

“Seharusnya pihak kerajaan tampil dengan solusi keusahawanan untuk memberdaya rakyat berpendapatan rendah. Melancarkan skim along model canggih seperti GOPinjam adalah bertentangan dengan amanah dan aspirasi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.

Awal bulan ini, Kumpulan TNG melancarkan tawaran perkhidmatan terbaharunya program pinjaman peribadi inklusif GOpinjam, yang disediakan melalui Touch ‘n Go eWallet.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TNG, Effendy Shahul Hamid, dilaporkan berkata pinjaman ditawarkan menumpukan kepada golongan yang kurang mendapat akses kepada pinjaman dan B40.

Effendy berkata, GOpinjam menawarkan pinjaman mudah dan pantas serendah RM100 sehingga RM10,000 dengan tempoh pembayaran semula yang fleksibel pada kadar faedah lapan peratus. Difahamkan, syarikat itu menyasar untuk menyalurkan pinjaman sehingga RM300 juta tahun ini. – Berita Harian

Google ads
Back to top button