Buletin

MASIH BAHARU, DAH ADA GR YARIS UNTUK DIBIDA DI UK

Toyota GR Yaris sememangnya sebuah hatchback hebat. Gambar-gambar yang disiarkan sama ada di dalam media elektronik atau cetak tidak menggambarkan rupa sebenar model ini.

Melihat secara berdepan GR Yaris ibarat raksasa kecil dengan aura rali yang tersendiri.

Di negara kita harga GR Yaris bukan murah dan setara dengan Honda Civic Type R yang mempunyai saiz lebih besar (dan lebih banyak pintu).

Pada harga RM300,000 tiada masalah untuk peminat tempatan membelinya cuma yang menjadi masalah ialah di mana hendak mendapatkan stok?

Sebagai sebuah model istimewa GR Yaris hanya dipasang di kilang Toyota di Machi, Jepun yang juga lokasi pengeluaran model legenda Supra A80.

Bukan setakat satu kilang sahaja, GR Yaris dipasang dengan tangan yang bermakna 10 kali ganda masa diperlukan berbanding model massa.

Disebabkan faktor tersebut dan eksklusiviti oleh Toyota bukan semua orang boleh memilikinya dengan melawat bilik pameran dan membuat tempahan atau membayar secara tunai.

Pertama sekali anda harus memeriksa sama ada pengedar tempatan menawarkannya. Sekali lagi bukan semua negara ditawarkan dengan model ini.

Apabila dibawa masuk secara rasmi, perlu cepat kerana tidak banyak ditawarkan atau dalam ratusan unit sahaja sebelum kuota baharu dibawa masuk.

Kepada yang masih berminat, anda masih boleh memilikinya dan perlu menduduki senarai menunggu untuk stok baharu. Begitulah hebatnya penangan GR Yaris.

Satu lagi yang perlu anda tahu ialah GR Yaris adalah model sejati Toyota dengan input dari perlumbaan rali dunia (WRC) serta hasil tangan Tommi Mäkinen dan Akio Toyoda.

Dua lagi model iaitu Supra A90 dan GR86 adalah hasil usahasama dengan syarikat luar.

Disebabkan kepayahan untuk mendapatkannya, model terpakai GR Yaris menjadi pilihan menarik buat mereka yang mahukannya dengan segera.

Di United Kingdom ada sebuah GR Yaris (Circuit Pack) tahun 2020 yang dibuka untuk bidaan oleh Classic Car Auctions (CCA) pada 25 September.

Tiada maklumat diberikan kenapa GR Yaris ini mahu dilepaskan dan menariknya hanya dipandu setakat 46 kilometer sahaja.

GR Yaris berwarna Scarlet Flare Pearlescent ini didaftarkan pada Disember 2020 dan masih kekal dengan spesifikasi standard.

GR Yaris digerakkan enjin 1.6 liter turbo G16E tiga silinder berkuasa 257bhp dan tork 360Nm. Enjin itu dipadan bersama transmisi manual enam kelajuan dengan pacuan empat roda.

Satu keistimewaan Circuit Pack ialah kelengkapan ekstra yang tiada pada GR Yaris lain seperti LSD (limited slip differential) depan dan belakang Torsen dan suspensi talaan litar.

Turut istimewa ialah angkup brek merah GR dan roda aloi forged BBS 18 inci dengan tayar Michelin Sport Sport 4S (225/40R18).

Berkenaan harga, CCA menjangkakan nilainya dari £28,000 (RM162,273) hingga £34,000 (RM197,046).

CCA juga menyatakan harga unit baharu GR Yaris (Circuit Pack) ialah £37,000 (RM214,433).

Selain faktor-faktor eksklusiviti oleh Toyota, cabaran gangguan bekalan cip untuk menyiapkan unit baharu GR Yaris juga menjadikan unit terpakai ini satu pilihan baik.

BACA: KETUA JURUTERA TOYOTA DEDAHKAN PERBEZAAN BRZ DENGAN GR 86

BACA: TOYOTA YARIS 2020. ENJIN HYBRID DYNAMIC FORCE, PLATFORM TNGA

BACA: SEGALANYA TENTANG GR YARIS G16E-GTS. ENJIN 3 SILINDER PALING BERKUASA

Google ads
Back to top button