Buletin

GRAB TAWAR DISKAUN WARGA EMAS INGIN DAPATKAN VAKSIN

Grab Malaysia menawarkan potongan harga sehingga RM8 bagi golongan berusia 60 tahun ke atas yang ingin mendapatkan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) seluruh negara.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, tawaran itu diberikan bagi empat kali perjalanan pergi dan balik apabila menggunakan aplikasi Grab bermula 12 Jun ini.

Menurutnya, program itu diperkenalkan apabila terdapat laporan yang menyatakan golongan warga emas menghadapi masalah pengangkutan, sekali gus menjadi punca utama mereka tidak menghadiri temu janji vaksinasi.

Promosi khas itu, katanya, merangkumi perjalanan untuk janji temu pengambilan kedua-dua dos vaksin yang diperlukan.

“Grab Malaysia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan semua lokasi di pusat vaksinasi ada di dalam aplikasi Grab.

“Bagi warga emas yang tidak mempunyai kenderaan atau pengangkutan sendiri, Grab menyediakan lokasi drop-off di semua pusat vaksinasi seluruh negara.

“Promosi ini akan dihantar terus ke dalam peti mel pengguna yang layak dan berdaftar,” katanya.

Goh berkata, program vaksinasi untuk warga emas oleh Grab ini dibangunkan bagi memudahkan akses perjalanan menerusi aplikasi Grab. – HM

Google ads
Back to top button