Buletin

JUALAN PROTON SUSUT BULAN LALU. SAGA, X50 DAN X70 MASIH POPULAR

PROTON menjual 9,440 unit di pasaran domestik dan eksport bulan lalu, menyusut sebanyak 37.1% berbanding bulan April, dengan penguasaan pasaran dianggarkan sebanyak 20.3%.

Sehingga penghujung Mei, jumlah keseluruhan jualan direkodkan adalah 57,283 unit, dengan penguasaan pasaran sebanyak 23.5%.

Selepas mendahului pasaran secara keseluruhan pada April, Proton Saga mengakhiri Mei dengan jualan terbanyak bagi segmen-A dengan 3,786 unit.

Saga merupakan salah satu daripada empat model Proton yang mendahului kelasnya.

Seperti bulan sebelumnya, Proton X50 dan X70 terus mendahului segmen masing-masing dengan margin besar.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 mencapai 1,899 unit pada Mei, manakala Proton X70 pula mencapai 1,523 unit.

Secara keseluruhan, sebanyak 3,422 unit sudah diserahkan kepada pemilik di Malaysia dan luar negara.

Proton Exora adalah juara segmen yang keempat bagi syarikat, iaitu juara bagi kelas kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-C.

Pada masa sama, usaha jualan PROTON di luar negara terus membina momentum meskipun pasaran antarabangsa mempunyai pelbagai langkah kawalan pergerakan.

Dengan 669 unit yang merangkumi Proton Saga, Proton X50 dan Proton X70 dieksport pada Mei, pencapaian ini juga adalah bulan terbaik untuk bahagian jualan antarabangsa syarikat sejak Mac 2013.

Setakat ini, jumlah jualan pasaran eksport bagi 2021 hanya kurang 100 unit saja berbanding jumlah jualan keseluruhan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata jualan kereta Mei menurun atas pelbagai faktor seperti kekurangan bekalan cip dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pertengahan bulan.

Katanya, walaupun kebanyakan pemain industri mempunyai tempahan yang mencukupi, kebanyakan perlu bergelut untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Bagi PROTON, jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan dan turut menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 98 bulan walaupun menghadapi cabaran dari rangkaian penghantaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun, jualan kenderaan akan tergendala untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu dan ada kemungkinan ia akan dilanjutkan untuk mengurangkan kadar jangkitan.

Berlainan dengan tahun sebelumnya, pusat servis dibenarkan beroperasi bagi pelanggan yang sudah membuat temujanji telebih dahulu.

Google ads
Back to top button