Buletin

GRACSHAW EDISI JEPUN RASMI DILANCARKAN, HARGA BERMULA RM420 SAHAJA!

Gracshaw, jenama topi keledar motosikal buatan Malaysia edaran Double Site Marketing Sdn Bhd, secara rasmi melancarkan topi keledar Edisi Jepun.

Topi keledar Edisi Jepun ini terdiri daripada enam reka bentuk unik iaitu Kurita, Tsuru, Japop, Tengu, Oda serta Karasu.

Untuk rekod, kesemua topi keledar ini telah pun dipersembahkan buat pertama kali di Terengganu Bike Week 2023 baru-baru ini.

Gracshaw edisi Jepun adalah topi keledar muka terbuka dwi-visor dan ia boleh dimiliki pada harga RM420 sahaja. Bukan itu sahaja, setiap pembelian bakal memperolehi beg galas eksklusif.

“Ini merupakan rangkaian topi keledar unik serta menarik daripada Gracshaw dan kami mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkannya,” kata wakil Bahagian Pemasaran Double Site Marketing, Farizan bin Md Akir.

“Visi kami adalah untuk menawarkan pelindung kepala yang menggabungkan kualiti, keselesaan serta menampilkan gaya.”

Tambahnya lagi, topi keledar Edisi Jepun ini direka bentuk di Pulau Pinang dan dibuat di Jitra, Kedah.

“Kami percaya produk Edisi Jepun dapat menawan hati penunggang motosikal Malaysia yang sudah biasa dengan budaya Jepun termasuk pelbagai ikon, motif serta watak dibawakan oleh negara matahari terbit ini.”

Cerita Rakyat yang Menarik

Kurita (クリタ) mendapat ilham reka bentuk daripada dongeng Jepun yang popular dan menonjolkan sotong gergasi, salah satu raksasa laut yang dihantar untuk mendapatkan semula permata suci yang dicuri dari Istana Raja Naga oleh penyelam mutiara, Puteri Tamatori. Elemen reka bentuk lain termasuk pedang katana, mutiara, ombak dan bunga.

Reka bentuk Tsuru (つる) menampilkan burung jenjang bermahkota merah, yang merupakan antara burung yang paling jarang ditemui di dunia.  Ramai yang menganggap burung ini sebagai simbol tuah, umur panjang dan kesetiaan. Di Jepun, burung jenjang ini dikenali sebagai tanchōzuru dan dikatakan hidup sehingga 1,000 tahun. Burung jenjang dikatakan memberi pertolongan sebagai balasan atas pengorbanan, seperti dalam Tsuru no Ongaeshi (burung jenjang membalas budi).

Budaya POP

Mereka yang membesar dengan seni popular Jepun akan mendapati reka bentuk Japop  (ジャポップ) yang diinspirasikan oleh anime dan manga sebagai sesuatu yang menarik. Gabungan unsur-unsur tradisional yang menarik seperti ikan dan haiwan dengan dinosaur dan watak manga popular Astro Boy pasti menjadikan reka bentuk ini sebagai tajuk perbualan.

Bagi mereka yang memilih tema yang lebih misteri, Gracshaw menawarkan reka bentuk Tengu 天狗 (てんぐ). Watak utama ialah Tengu, makhluk sakti nakal daripada cerita rakyat Jepun yang dikatakan memiliki kuasa mengawal angin yang hebat.  Dengan muka merah, hidung panjang, jubah dan sayapnya, tengu tidak boleh diusik kerana dia boleh menyebabkan huru-hara.

Catatan Sejarah

Reka bentuk Oda 織田 (おだ) memberi pengiktirafan kepada Nobunaga Oda, hulubalang Jepun yang berani semasa zaman Sengoku. Sebagai ketua puak Oda yang berkuasa, dia berperang dengan ketua-ketua feudal lain dan berjaya menyatukan Jepun pada tahun 1560an. Pertempuran Okehazama dianggap sebagai salah satu peristiwa paling penting dalam sejarah Jepun dengan Oda mengalahkan tentera yang berjumlah 10 kali ganda berbanding pasukannya sendiri. Elemen reka bentuk utama termasuk Oda yang memegang katana memakai topeng yang menakutkan, dengan bayangnya yang menaiki kuda berlatarbelakangkan matahari terbit dan pokok bakung.

Reka bentuk terakhir, Karasu (カラス) menampilkan senjata yang digunakan oleh para ninja seperti shuriken, kunai dan kusarigama. Ninja tersohor, Hattori Hanzo yang berkhidmat dengan puak Tokugawa dengan cemerlang, telah mendapat pujian kerana menyelamatkan nyawa Tokugawa Ieyasu, seorang shogun yang kemudiannya memerintah seluruh Jepun. Hanzo mengetuai pasukan pahlawan ninja perkasa seramai 200 orang dan dikatakan  memiliki pelbagai kebolehan ghaib yang membuatnya tidak dapat dikalahkan.

Topi keledar Gracshaw Edisi Jepun boleh dibeli secara dalam talian melalui https://shop.gracshaw.com, Kedai Rasmi Gracshaw di Shopee https://shopee.com.my/gracshaw.os dan melalui laman Facebook https://www.facebook.com/gracshaw.

Untuk maklumat lanjut tentang portfolio lengkap produk dan senarai pengedar Gracshaw, sila layari www.gracshaw.com.

GALERI:

Google ads
Back to top button