Buletin

ISU KOD PAKAIAN PELANGGAN, PERODUA AMBIL LANGKAH PEMBETULAN

Baru-baru ini, tular hantaran seorang ahli politik Quek Tai Seong, memaparkan foto papan tanda yang menunjukkan kod pakaian di sebuah Pusat Servis Perodua di Kuantan.

“Ini arahan #perodua seluruh negara? Atau cawangan ini pandai-pandai je?” tulis Quek Tai Seong di Facebook miliknya.

Melalui foto tersebut, pengunjung tidak dibenarkan memakai skirt pendek, seluar pendek, seluar jeans koyak dan pakaian tanpa lengan.

Susulan itu, Perodua, menerusi Ketua Pegawai Operasi, Perodua Sales Sdn Bhd, JH Rozman mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.

“Kod etika pemakaian yang dikeluarkan itu tidak selaras dengan garis panduan rasmi Perodua dan kami kini sedang melakukan siasatan rasmi berhubung perkara berkenaan, diikuti dengan langkah pembetulan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berlaku lagi.

Kami memohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pelanggan yang kami hargai di Pusat Servis Perodua berkenaan.”

Terdahulu, pengurus Pusat Servis Perodua di Kuantan telah menjelaskan perkara itu dan mengakui bahawa gambar digunakan dalam papan tanda kod pakaian itu memang mengelirukan.

Difahamkan, notis papan tanda berkenaan diturunkan serta-merta bagi mengelak orang ramai salah faham.

Google ads
Back to top button