
KTM 1390 SUPER DUKE RR 2026 DIUMUMKAN – DENGAN BEAST MODE, 190HP
KTM melancarkan 1390 Super Duke RR serba baharu yang merupakan versi lebih ekstrim dari KTM 1390 Super Duke R yang diperkenalkan sebelum ini.

Meskipun kelihatan sama seperti model asas namun versi RR ini adalah 11 kilogram lebih ringan. Pengurangan berat ini disumbangkan penggunaan komponen gentian karbon, pakej suspensi WP PRO yang dibangunkan dari teknologi MotoGP serta rim jenis forged yang dipadankan bersama tayar Michelin Power GP Hypersport baharu.
Menggerakan 1390 Super Duke RR adalah enjin LC8 V-Twin 1350cc generasi terbaru yang berupaya menjana 190hp dan 145NM.

Enjin ini turut dilengkapi dengan teknologi Camshift baharu yang mempertingkatkan proses pembakaran di setiap peringkat rev. Motosikal ini turut dilengkapi dengan ekzos Akrapovič (slip-on) secara standard.
Bagi memastikan segala kuasa dapat dikawal dan cengkaman tayar berada di tahap efisien, suspensi WP PRO dengan pelarasan penuh memainkan peranan yangbesar. Brembo Hypure Sport pula menawarkan kuasa membrek yang optimum.

KTM mendakwa bahawa 1390 Super Duke RR ini merupakan model dengan pakej elektronik terlengkap dengan kesemua Tech Pack ditawarkan secara standard.
Tech Pack ini terdiri dari
- motor slip regulation (MSR)
- quickshifter+
- suspension pro
- adaptive brake light
- engine brake control (EBC)
- cruise control

Menariknya, veri RR ini turut dilengkapi dengan skrin TFT 8.8-inci dengan fungsi touchscreen baharu yang turut menawarkan ciri seperti lap-timer dan data telemetri ketika Track Mode.
KTM turut memperkenalkan fungsi Beast Modes serba baharu yang meletakkan 1390 Super Duke RR dalam mod prestasi yang paling tinggi.
Menurut KTM, hanya 350 unit dihasilkan untuk pasaran global. Memandangkan KTM mengumumkan telah pun menghentikan kerjasama dengan KISKA Design, ini bermakna ini mungkin Super Duke terakhir dengan sentuhan syarikat pereka dari Austria itu.
GALERI: KTM 1390 SUPER DUKE RR 2026























