Motosikal

COVID-19 TIDAK RENCAT PEMBINAAN LITAR MANDALIKA DI LOMBOK, INDONESIA

Kerja-kerja pembinaan litar Mandalika di Lombok, Indonesia nampaknya tidak terjejas biarpun semua negara di seluruh dunia sibuk melaksanakan sekatan pergerakan demi mencegah penularan wabak COVID-19. 

Dalam satu video yang dikongsikan oleh Agus Harianto pada 3 Februari lalu, ia jelas menunjukkan kerja meletakkan asas dan mengorek tanah giat dijalankan. Daripada imej yang dirakam dari udara itu, litar Mandalika akan menjadi sebuah litar yang rata tanpa sebarang perubahan altitud. 

Litar sepanjang 4.32km itu mempunyai 18 selekoh. Trek tersebut turut melibatkan jalan awam sedia ada. Maksudnya selepas acara perlumbaan tamat, ia akan digunakan oleh orang awam pada hari-hari biasa. 

Terletak di pulau pelancongan terkenal Lombok, ia dilihat bakal menjadi satu pasaran penting buat pengeluar motosikal.

Keseluruhan projek itu juga penting untuk kerajaan tempatan yang mahu meningkatkan lagi minat orang ramai terhadap kawasan berkenaan. Selain membantu pulau tersebut pulih daripada bencana gempa bumi yang melanda pada tahun 2018. 

Projek pembangunan litar itu bermula pada akhir tahun 2018 selepas Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports (penganjur MotoGP), Carmelo Ezpeleta bertemu dengan sekumpulan pelabur. Sedia maklum bahawa Indonesia memang mahu siri perlumbaan MotoGP diadakan di republik tersebut. 

Pada awalnya, perbincangan penganjuran perlumbaan mahu diadakan di litar Sentul, sebelum projek sebuah litar serba baharu yang direka oleh Hermann Tilke ingin dibina di Palembang, selatan Sumatera. Lokasi itu dipilih bagi memanfaatkan pembangunan infrastruktur yang telah dibina untuk Sukan Asia 2018. Namun, rancangan itu dibatalkan. 

Sebaliknya, Mandalika yang dipilih. Ia bukan sahaja akan menganjurkan perlumbaan MotoGP, malah saingan WorldSBK mulai tahun 2021 dengan perjanjian selama lima tahun. 

Bagi merealisasikan projek berkenaan, Lembaga Pembangunan Pelancongan Indonesia telah melantik firma MRK1 Consulting untuk mereka bentuk, membina dan menguruskan litar tersebut. 

Google ads
Back to top button