Buletin

NISSAN TUTUP KILANG DI INDONESIA. BUKA PELUANG TOYOTA DAN HONDA DOMINASI PASARAN

Nissan mengumumkan bahawa ia tidak lagi menghasilkan kenderaan di Indonesia dalam usaha menambah baik pengeluaran globalnya bagi mengatasi masalah kejatuhan jualan yang menjejaskan keuntungannya. 

Keputusan untuk menghentikan operoasi kilang di Jawa Barat yang menghasilkan model Datsun adalah sebahagian daripada pelan mengecilkan saiz, mengoptimumkan produksi dan menyusun semula operasi perniagaan. 

Nissan memberitahu penutupan kilang itu adalah langkah perlu untuk mempercepatkan usaha pengurangan kos dan mencatat keuntungan. Ia bagaimanapun akan menggunakan kilang rakan pakatannya, Mitsubishi untuk terus menghasilkan kenderaan di Indonesia. 

Penutupan kilang itu nyata membuka peluang kepada Toyota dan Honda untuk terus dominan di pasaran republik tersebut. Toyota mempunyai dua buah kilang yang mengeluarkan kenderaan jenama Toyota dan Daihatsu dengan pegangan pasaran sebanyak 40 peratus. 

Perkembangan terbaharu itu juga dilihat memberi kelebihan kepada Hyundai yang tahun lalu mengumumkan bakal membina sebuah kilang baharu di Indonesia. Ia merupakan kilang pertama Hyundai di Asia Tenggara dalam usaha mencabar penguasaan jenama Jepun di rantau itu. 

Langkah memberi diskaun yang banyak sejak sekian lama jelas menjatuhkan imej jenama dan membuatkan angka jualan terus menjunam. Kini, tekanan semakin dirasai oleh eksekutif kanan Nissan untuk tampil dengan pelan pemulihan yang mapan menjelang Mei depan. 

Pengeluar dari Jepun itu berdepan cabaran getir sejak penahanan dan pemecatan ketuanya, Carlos Ghosn pada tahun 2018 atas dakwaan jenayah kewangan. 

Tags
Google ads
Back to top button