Artikel Pilihan

HIASAN BONET PALING MENARIK PERNAH DIHASILKAN

Hiasan bonet suatu ketika dahulu adalah sangat popular dan menjadi lambang sesebuah kereta itu sendiri. Ia mungkin dihasilkan sendiri oleh pengeluar kereta ataupun oleh artis dan pengukir mahir pada zaman tersebut. Kalau kereta anda jenis kelas bawahan dan tidak mempunyai hiasan bonet semulajadi, itu pun tiada masalah. Pergi sahaja ke kedai aksesori Ah Beng mana-mana, mesti ada jual punya.

Tapi masa sudah berlalu dan dengan peningkatan peraturan keselamatan, era hiasan bonet ini boleh dikatakan sudah berlalu. Ia tidak aerodinamik dan menjejaskan tahap ekonomi bahan api selain dikatakan membahayakan bila anda terlanggar seseorang. Mari kita tengok beberapa hiasan bonet yang pernah popular (ada yang masih digunakan dan ada yang sudah pupus).

Jaguar

Dikenali dengan gelaran Leaper, ia merupakan hiasan berbentuk seekor jaguar yang sedang melompat. Ia juga merupakan salah satu hiasan bonet yang ikonik dan paling lama digunakan sebelum digantikan dengan lencana berbentuk kepala jaguar yang sedang mengaum. Kini tidak ada lagi hiasan bonet berbentuk ini kerana peraturan keselamatan. Rugi jugak rasanya sebab rasanya bentuk asal kelihatan lebih elegan dan ada kelas berbanding lencana baru Jaguar.

Mercedes-Benz

Logo Mercedes berbentuk bintang dengan tiga jejari ini memang cukup terkenal baik di atas jalan raya mahupun di litar perlumbaan. Ia masih digunakan sehingga kini dan merupakan mercu tanda unik yang masih dikekalkan sehingga kini. Kini sebagai mematuhi peraturan keselamatan yang ketat, ia telah diubahsuai agar mudah dilentur ataupun tercabut terus jika terlibat dalam kemalangan bagi memastikan pejalan kaki tidak akan tercedera. Bayangkan kalau logo ini terlekap di atas dahi mangsa, memang niaya betul kan?

Chevrolet Bel Air 1955

Tahun 50-an merupakan zaman gemilang dunia penerbangan, oleh itu pengaruh pesawat terbang boleh dilihat di mana-mana sahaja. Contohnya ialah hiasan bonet berbentuk pesawat jet yang terdapat pada bonet Chevrolet Bel Air 1955. Tambah menarik bila hiasan berbentuk jet itu sebenarnya mempunyai kepala seperti seekor helang yang sedang terbang. Ia sayangnya tidak lama digunakan tetapi kekal sebagai salah satu kereta dengan hiasan bonet paling bergaya untuk kereta buatan AS.

Duesenberg Model J 1929

Ia dihasilkan pada zaman kebangkitan fesyen dan rekaan seni bina arkitek. Tidak hairanlah hiasan bonet ini begitu bergaya dan diletakkan pada bahagian penutup tangki air. Ia berbentuk burung yang sedang terbentuk dan bentuknya yang tajam menjadikannya kelihatan…..bahaya. Kalau tercucuk burung yang sedang terbang memang jadi sate la jawabnya.

Mack

Mack bukannya pengeluar kereta tapi mereka lebih mahir dalam mengeluarkan trak besar dan bas. Rupa hadapan yang tumpul dan ketahanannya menyebabkan ia digelar bulldog sebelum hiasan bonetnya diperkenalkan pada tahun 1938. Ia juga mempunyai maksud tersendiri di mana jika hiasan tersebut berwarna emas bermaksud trak tersebut dan komponen dalamannya dihasilkan sendiri oleh Mack. Tapi jika berwarna krom ia bermaksud terdapat komponen yang dihasilkan oleh pengeluar lain.

Packard Donut Chaser

Packard merupakan satu jenama lama yang sudah tidak wujud. Mereka turut mempunyai hiasan bonet mereka sendiri yang digunakan dari tahun 1926 sehingga 1950. Hiasan mereka dinamakan Goddess of Speed ataupun Tuhan Kelajuan tapi kerana tangan hiasan tersebut yang memegang tayar dan rim kelihatan seperti donat, ia diberi gelaran Packard Donut Chaser.

Rolls-Royce

Hiasan paling ikonik semestinya milik Rolls-Royce dan dinamakan Spirit of Ecstasy. Ia menghiasi setiap bonet kereta Rolss-Royce sejak dari tahun 1911. Hiasan ini direka oleh Charles Sykes berdasarkan satu ukiran beliau sendiri yang dinamakan ‘The Whisper’. Ia dihasilkan berdasarkan kepada model sebenar iaitu Eleanor Thornton, seorang pelakon Inggeris yang juga merupakan kekasih Sykes.

Spirit of Ecstasy moden boleh dihasilkan sama ada dari besi tahan karat, besi bersadur emas 24-karat ataupun kristal.

BACA: LAMBANG KERETA PALING RINGKAS DI DUNIA. INILAH ASAL USUL LOGO MCLAREN

Bentley

Pesaing terdekat Rolls-Royce, Bentley turut mempunyai hiasan bonet mereka sendiri yang digelar ‘Flying B’. Mesti semua faham sendirilah apa maksud B tu kan? Beberapa model mereka seperti Mulsanne masih mempunyai hiasan jenis ini tetapi dengan ciri keselamatan khusus untuk memastikan keselamatan pejalan kaki.

Pontiac

Ini kami rasa merupakan hiasan bonet paling ‘cool’. Mahunya tal ‘cool’, hiasang itu sendiri berbentuk kepala ketua kaum Indian. Ia bukan kebetulan kerana nama Pontiac itu sendiri di ambil sempena nama ketua Indian Ottawa satu ketika dahulu. Ia bukan hanya kelihatan hebat tetapi ia bertambah hebat pada waktu malam bila ia bercahaya dengan nyalaan warna oren. Ingat logo Proton pada Saga edisi pertama yang bersinar dengan cahaya biru pada waktu malam? Jika itu dah dikira hebat pada tahun 1985, yang ini dan tentu lagi hebat.

Kredit Carbuzz.com

Google ads
Back to top button