
PERUBAHAN LOGO LEBIH MINIMALIS, FAKTOR PENDIGITALAN MAIN PERANAN
Industri automotif mengalami pelbagai perubahan dan tidak terkecuali bagi beberapa pengeluar memilih untuk mereka bentuk semula logo bagi memastikan jenama mereka kekal dikenali atau menguatkan lagi identiti.
Sepanjang lima tahun lalu, nampaknya sebilangan besar pembuat kereta telah memutuskan untuk merombak logo mereka. Mungkin pereka berasa bosan semasa pandemik, tetapi senarai jenama dengan logo baharu, sebenarnya agak panjang.

Daripada Porsche ke VW, dari GM ke Buick, Citroen, Renault dan Geely, semuanya memilih untuk mereka bentuk semula logo mereka walaupun sesetengahnya membuat perubahan sangat kecil sehingga anda mungkin tidak perasan.
Dari segi trend, hampir kesemuanya tampil lebih minimalis, sesuai citarasa masa kini, misalnya Buick, Volkswagen serta Citroën.
Langkah diambil pengeluar untuk mereka semula logo, boleh ditafsirkan sebagai tindak balas kepada peningkatan tumpuan pembuat kereta pada pendigitalan.

Semua kemas kini dibuat agar logo mereka dapat dibaca dengan lebih baik pada skrin sentuh, selain faktor peralihan kepada kenderaan elektrik.
Selebihnya, evolusi industri automotif juga berkait rapat dengan fesyen dan boleh dilihat pada reka bentuk dalaman pada sesebuah kenderaan, lebih minimalis, menampilkan karakter serta mewah.
Jadi apa pendapat anda? Adakah terdapat logo jenama minimalis baharu yang kelihatan sangat menarik?





