Buletin

SEBUAH LAGI LAMBORGHINI AVENTADOR DISITA KERANA TIADA INSURANS DI UK

Sebuah lagi supercar Lamborghini Aventador telah disita oleh polis Stechford, United Kingdom kerana didakwa dipandu tanpa insurans. Di UK, memandu tanpa insurans merupakan satu kesalahan besar.

Ia boleh menyebabkan kereta disita dan akan dilupuskan dalam masa 14 hari jika anda gagal menyediakan dokumen, membayar denda dan yuran penyimpanan.  

“Peringatan kepada semua yang ingin membeli Lamborghini Aventador. Sila pastikan ia diinsuranskan untuk membolehkannya ia dipandu. Hari ini Stechford menyita sebuah Aventador kerana tiada insurans,” tulis polis Stechford di Twitter bersama sekeping gambar Aventador berwarna putih berharga AS$350,000 (RM1.3 juta).

Sebelum ini, timbul laporan sebuah Lamborghini Aventador SVJ milik seorang pemain Manchester City, Benjamin Mendy turut mengalami nasib yang sama.

Mendy yang juga merupakan pemain kebangsaan Perancis dikatakan panik kerana polis akan melupuskan AventadorSVJ miliknya yang telah dirampas pada hujung November lalu.

Mendy ditahan kerana memandu tanpa insurans dan lesen sah. Walaupun selepas 20 hari, dia masih gagal mengemukakan dokumen kereta berkenaan.

Avantador SVJ itu bagaimanapun bukanlah kereta baharu kerana dia pernah dilihat memandu kereta sama di Cannes pada 2019. Di UK, kos insurans sebuah Lamborghini adalah lebih £7,000 (RM37,800) setahun.

Google ads
Back to top button