Pandu Uji

HONDA CIVIC RS, LOGO HONDA DENGAN PERISA CONTINENTAL. LAGI POWER & LAGI SPORTI DARI YANG LAMA

Honda Civic merupakan model yang paling penting bagi Honda bagi pasaran global. Bermula sebagai sebuah kereta kompak yang menekankan kecekapan penggunaan bahan api dan pada hari ini ia dianjak menjadi model segmen C premium pada hari ini.

Tambahan pula sebaik sahaja model Civic biasa dilancarkan, varian paling berkuasa iaitu Type R turut dibangunkan bagi mencabar hegemoni kuasa dan kelajuan daripada Renault, Mercedes Benz, Subaru dan yang terkini Toyota GR Corolla

Ia merupakan satu tugas yang berat buat Honda Civic dimana ia perlu memenuhi pelbagai tugas di depannya samaada menjadi sebuah kereta keluarga biasa yang berkuasa dan juga sebagai sebuah kereta sport untuk litar perlumbaan. Maka rekaan yang digunakan mestilah boleh disesuaikan untuk semua keadaan dan juga pasaran.

Berbeza dengan Honda Civic sebelumnya iaitu Civic FC yang tampil dengan rekaan luaran berani serta mengetengahkan konsep rekaan fastback, Honda Civic dengan kod cesi FE tampil dengan rekaan luar yang lebih sopan dan nampak baik. Tapi ia bukan direka kerana meniru rekaan Civic FB tapi ada penjelasan unik disebalik keputusan drastik ini

Dari segi design proportion, Honda banyak menghabiskan masa dan kajian dengan membetulkan semula rekaan luar dengan meminimakan konsep fastback dan cuba kembali semula kepada rekaan baru yang merupakan campuran antara sedan dan juga fastback

Saiz panjang, lebar dan tinggi cesi diubah semula agar kelihatan lebih seimbang dengan kedudukan tayar depan ditarik ke depan cesi sebanyak 25mm dan tayar belakang ditolak ke belakang sebanyak 35mm. Ini menjadikan overhang depan dan belakang lebih pendek dan menyebabkan jarak antara roda bertambah kepada 2735mm

Bila proportion rekaan sudah tepat, maka jururekabentuk tidak perlu menambah pelbagai garisan pada rekaan luar bagi menutup kelemahan rekaan dengan menjadikan kereta lebih sporti. Cukup sekadar satu garisan shoulder line dibuat dari lampu belakang terus ke bahagian depan dan tambahan satu garisan minima di bahagian pintu

Rekaan ini akan digunakan di Asia, Afrika, Amerika dan juga Eropah kerana berbeza dengan jenama lain yang kaya raya, Honda bukanlah jenama besar yang mampu melabur dengan banyak bagi menghasilkan rekaan berbeza dan khusus bagi setiap pasaran. Hanya ada satu rekaan global sahaja yang akan digunakan

Jika anda perasan, harga permulaan Honda Civic juga telah meningkat kepada RM 125,000 bagi varian E dan menjadi RM 144,000 bagi varian RS. Ini merubah demografik pasaran Honda Civic daripada pemilik yang berusia 26-35 tahun menjadi 35 tahun sehingga awal 40 an.

Pembeli dalam julat umur sebegini lebih berduit, stabil dan matang dan mereka tidak memerlukan sebuah kereta sedan yang try hard untuk menjadi racer boy. Apa yang mereka perlukan ialah sebuah kereta yang nampak eksekutif, nampak biasa, tapi luar biasa kuat dan melekat di selekoh

Honda mengenakan rekaan baru pada Civic samaada anda suka atu tidak dengan rekaan lampu baru dan lampu DRL yang baru. Bagi varian RS, Honda Civic menerima kemasan lampu depan yang digelapkan, logo RS, cermin pandang sisi dan tombol pintu kemasan hitam.

Bahagian belakang pula menerima lampu malam yang digelapkan, ekzos berkembar krom berkilat, ducktail kemasan hitam berkilat dan juga rim kemasan hitam bersaiz 18 inci menjadikan imej RS bagaikan budak jahat yang dipakaikan tie dan blazer.

Honda juga merombak semula cesi yang digunakan oleh Civic tapi mengekalkan formula topang McPherson di bahagian depan dan Multilink di bahagian belakang. Cesi pula diperkuatkan dengan meningkatkan torsional rigidity sebanyak 8% dengan komponen tambahan di bahagian ruang enjin dan juga ruang kargo belakang

Keadaan ini menyebabkan ruang kargo belakang menjadi kecil sedikit kepada 497 liter. Bending rigidity juga ditambah sebanyak 13% selain struktur lantai platform turut diperkukuhkan. Hasilnya ialah tindakbalas cesi terhadap input stering amat pantas sehinggakan setara dengan kereta Continental

Enjin 1500cc DOHC 4 silinder diberikan unit turbo yang lebih besar walaupun kami tidak tahu berapakah saiz yang digunakan. Turbo ini menghasilkan boost yang lebih tinggi menyebabkan Honda perlu merendahkan nisbah mampatan daripada 10.6:1 kepada 10.3:1

Bagi mengurangkan masalah turbolag, kaedah pemasangan paip ditukar kepada 4-2-1 dan mekanisme VTEC dipasang dipasang di bahagian injap ekzos. Hasilnya tetapan baru enjin ini menjana sehingga 180 kuasa kuda dan 240Nm tork. Hampir 7 kuasa kuda dan 220Nm tork lebih baik berbanding dengan model FC

2 elemen yang diperbaharui iaitu pengendalian yang diperkemaskan dan juga enjin yang lebih kuat sebenarnya sudah cukup untuk meyakinkan pembeli baru. Tapi Honda memperbaiki lagi aspek pemanduan dengan merendahkan papan pemuka agar pemandangan ke luar nampak lebih lapang dan luas.

Konsol tengah yag menempatkan tombol gear juga direndahkan menjadikan ruang pemandu dan penumpang nampak dan rasa lebih lapang berbanding dengan model lama. Ditambah pula dengan keupayaan pemandu melihat muncung kereta di bahagian depan, memang seronok bila Civic ini dibawa masuk ke selekoh dengan agresif

Pegang sahaja stering, tekan pedal rapat ke lantai maka anda akan rasakan harga RM 144,000 yang anda bayar sangat berbaloi. Pulas stering masuk ke selekoh dan anda akan rasa stering Civic ini sangat ‘hidup’ dan meyakinkan walaupun anda perlu memotong kereta perlahan di selekoh.

Paksi suspensi belakang diubah dan pelapik getah telah ditambah baik menjadikan aspek keselesaan bertambah bagus. Honda pandai mewujudkan keseimbangan antara keselesaan (ride) dan juga pengendalian. Bagi Honda Civic RS, boleh dikatakan aspek keselesaan pada 40% dan 60% fokus diberikan pada pengendalian

Jika anda melalui bonggol di taman, Honda Civic akan melalui bonggol tersebut dengan selesa dan lembut. Kadar bounce dan rebounce penyerap hentak juga amat selesa. Cuma kelemahan Civic ialah jika anda melalui jalan persekutuan yang tidak rata secara berterusan, barulah bahagian belakang terasa seperti “sibuk”.

Ia menyebabkan penumpang belakang terasa seperti terhenjut-henjut sedikit, mungkin disebabkan penggunaan spring yang pendek dengan gegelung besar bagi memastikan titik graviti Civic adalah rendah. Sewaktu Civic dibangunkan, Honda meletakkan Audi, Volkswagen Golf, Toyota Corolla dan Mazda 3 yang baru sebagai penanda aras.

Terdapat 3 mode pemanduan yang disediakan samaada ECO, Normal ataupun SPORT. Pecutan yang dihasilkan oleh Civic memang deras, mampu menewaskan sebuah jentera buatan Jerman varian pertengahan dengan mudah.

Tapi pertambahan kuasa ini juga menyebabkan penggunaan petrol meningkat. Jika model Fc dulu mampu menghasilkan 17.2km bagi setiap litar, ujian Honda mendapati penggunaan petrol Civic FE 2022 berkurang kepada 15.6km bagi setiap liter petro. Catatan penulis pula mendapati Civic hanya berupaya mencatatkan bacaan sekitar 14.3km bagi setiap liter petrol

Satu lagi aspek yang dipertingkatkan oleh Honda ialah dengan penggunaan cagak enjin baru, penambahan bahan kedap bunyi yang lebih banyak di papan pemuka, ruang dalam enjin, di bahagian lantai, di bahagian firewall enjin dan juga fender tayar belakang.

Ini menjadikan Honda Civic bertambah senyap sehingga sekitar 59dB sahaja pada halaju 110km/jam di atas lebuh raya. Hanya sesekali sahaja bunyi tayar Michelin Pilot Sport4 dengan saiz 235/40 R18 kedengaran apabila melalui jalan yang menggerutu

Honda Civic RS juga dilengkapkan dengan ciri Honda Sensing yang merangkumi sistem pemanduan automatik adaptif, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, brek kecemasan automatik, Low Speed Follow, auto high beam dan yang terbaru ialah Lead Car Departure Notification System

Untuk sistem amaran titik buta, Honda menggunakan teknologi kamera Honda Lane Watch bagi membolehkan pemandu melihat titik buta di bahagian kiri kenderaan. Untuk aspek keselesaan, ciri Apple Car Play, Android Auto, pengecas USB di bahagian depan dan belakang, lampu kabin warna merah di pintu dan ruang kaki yang mewujudkan suasana lebih sporti

Cuma ada 2 aspek yang penulis rasakan boleh ditambah baik oleh Honda iaitu aspek keselesaan kusyen pemandu yang terasa keras dan tidak selesa untuk perjalanan jarak jauh. Kamera pandang belakang juga menghasilkan piksel gambar yang kurang memuaskan

Walaupun rekaan Honda Civic FE kelihatan lebih bersih dan nampak kosong berbanding dengan rekaan lama, tapi rekaan sebegini sebenarnya lebih mudah diadaptasi untuk pasaran seluruh dunia. Tapi ia masih mengekalkan pengendalian yang paling dinamik, enjin yang berkuasa dan ia merupakan sebuah kereta pilihan bagi pemandu yang sukakan sebuah sedan bukan SUV sebagai kenderaan utama untuk dipandu setiap hari

Google ads
Back to top button