Artikel Pilihan

HONDA CIVIC TYPE R LIMITED EDITION HABIS TERJUAL DALAM MASA KURANG 4 MINIT

Sebagai sebuah model berprestasi tinggi, Honda Civic Type R baharu ini sudah dikira sebagai model yang sangat rare. Kini Honda menaikkan lagi statusnya dengan model edisi terhad (LE) untuk tahun 2021 dengan model khas yang berwarna Phoenix Yellow.

100 unit diperuntukkan untuk pasaran Kanada dan menariknya kesemua 100 unit habis terjual dalam masa kurang dari 4 minit. Pergh, itu dah kira lagi laju dari catatan masa sepusingan kereta ini di Litar Nurburgring. Tapi berdasarkan saiz Kanada, ia bukannya sesuatu yang pelik pun.

Civic Type R LE yang berwarna Phoenix Yellow ini diberi sedikit sentuhan yang menjadikannya lebih ringan. Malah sport rim BBS 20-inci yang diperbuat daripada aluminium tempa mengurangkan berat sebanyak lebih kurang 8 kilogram berbanding Civic Type R standard. Ia kemudiannya dibalut dengan tayar-tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang memang melekat habis.

Penurunan berat dikurangkan lagi dengan membuang sesetengah bahan penyerap bunyi cuma Honda belum menerangkan bagaimana ia dilakukan. Bukannya pelik untuk sebuah model sports berprestasi tinggi sebenarnya. Beli kereta sport mahal-mahal tapi tak boleh dengar bunyi enjin dan ekzos dari dalam mana boleh.

Berbeza daripada warna tradisi Type R, model LE ini bukan hanya berwarna kuning terang tetapi bahagian bumbung, cermin sisi dan penutup hud depan semuanya diwarnakan hitam agar kelihatan lebih menyerlah. Emblem belakang juga diberi kemasan krom hitam sebagai pelengkap tema.

Kuasa enjin masih lagi sama menggunakan enjin 2.0L 4-selinder turbo yang mampu menjana 306hp kuasa maksima. Kesemua kuasa ini disalurkan ke roda hadapan dengan menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan untuk pecutan pantas.

Honda mengesahkan dalam siaran akhbar mereka yang kesemua model Type R LE 2021 untuk pasaran Kanada telah habis terjual dalam masa 4 minit menerusi laman jual beli atas talian eCommerce minggu ini. Kesemua pembeli dikehendaki membayar deposit sebanyak 1000 dolar Kanada untuk tempahan mereka. Fuh, laris betul ‘pisang goreng’ Type R ni.

Tak apa, sebab tak lama lagi mesti ada adik-adik dan abang-abang H kat Malaysia ni convert Civic sedan mereka jadi warna kuning macam ni kan?

Google ads
Back to top button