
HONDA CIVIC TYPE R DI PARIS MOTORSHOW
Di Malaysia ini, Honda Civic merupakan sebuah kereta idaman ramai. Namun harganya memang bukan untuk semua golongan. Walaupun ramai yang ingin memilikinya tetapi bukan semua pemandu kita memiliki kesedaran kewangan.
Di kalangan pelbagai variasi Honda Civic, raja yang sebenar ialah Honda Civic Type R. Kini prototaip Honda Civic Type R telah mula dipertontonkan di Paris Motor Show yang sedang berlangsung. Ia sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang Honda Civic Type R generasi baru yang akan dilancarkan untuk pasaran tahun hadapan.
Pewaris terbaru takhta “R” kini kelihatan lebih sporty dan agresif dengan kemasan aluminium di bahagian luar dan pelbagai ciri yang tidak ada pada model terdahulu seperti tambahan kit-kit badan, sirip, spoiler dan ruang-ruang kemasukan udara. Jeriji logam berbentuk berlian dilengkapkan pada ruang kemasukan udara untuk menambahkan ciri agresif pada prototaip itu.
Ia juga dilengkapi dengan splitter daripada gentian karbon di hadapan selain tayar-tayar bersaiz 20 inci siri 245 berprestasi tinggi yang dipadankan dengan rim-rim aloi berwarna hitam piano. Arca tayarnya juga kini dibesarkan lagi untuk memuatkan tayar dan rim yang bersaiz mega itu. Bahagian skirting sisi juga diperbuat daripada gentian karbon dan dihiasi dengan jaluran merah untuk menjadikannya lebih menonjol.
Prototaip ini kelihatan seperti bersedia untuk bertarung bila-bila masa dengan model-model seperti Subaru WRX STI, Volkswagen Golf GTI dan Ford Focus RS. Tetapi malangnya Honda masih berahsia tentang kuasa dan prestasi yang dibekalkan untuk model terbaru ini.
Tapi kalau dah namanya Civic Type R mustahil Honda akan memadankan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 306hp dan tork 400Nm dari model Type R FK2. Bayangkan, FK2 pun masih tak ramai atas jalan kau nak beli harganya recond atas 200K sekarang. Civic tu kawan, Civic!
Produk Type R terbaru ini juga merupakan yang pertama akan dipasarkan secara rasmi di Amerika Syarikat. Ia dikatakan akan dihasilkan di fasiliti pembuatan Honda di Swindon, United Kingdom bersama-sama dengan model hatchback lima-pintu untuk pasaran Amerika Syarikat.
Menurut sumber, Type R ini akan dipasarkan di Eropah seawal pertengahan tahun 2017. Walaupun banyak model saingan yang mula menggunakan sistem pacuan semua roda, Honda dikatakan masih lagi berminat untuk mengekalkan sistem pacuan roda hadapan yang akan menambahkan cabaran pemanduan tetapi pada masa yang sama cukup menghiburkan. Kalau dah AWD hilanglah DNA sebuah kereta pacuan depan paling power yang paling mencabar pengendaliannya.
Prototaip Civic Type R yang diasaskan daripada versi Civic hatchback ini juga kelihatan lebih rendah dan lebar dan besar kemungkinan tidak dipasarkan di Malaysia. Malah sebelum ini juga Civic Type R yang dipasarkan di Malaysia diasaskan dari Civic empat-pintu sedan sama seperti pasaran Jepun.
Mana-mana Type R sekalipun tidak akan lengkap tanpa lencana ‘H’ berwarna merah menghiasinya. Kini ini diletakkan di atas gril kemasukan udara depan. Terdapat juga skup kemasukan udara di bahagian atas bonet. Lampu-lampu utama LED, dan lampu-lampu lain digelapkan sedikit untuk menjadikannya kelihatan lebih agresif.
Jika Civic Type R FK2 itu pun sudah nampak agresif, Type R terbaru ini lebih garang. Bahagian belakang disudahi dengan bumper gentian karbon siap dengan diffuser untuk mengalirkan udara lancar ke belakang. Bumper yang besar juga berintegrasi dengan tiga paip ekzos yang diletakkan berdekatan dan berfungsi sepenuhnya. Paip ekzos tengah berwarna merah dan berdiameter lebih kecil berbanding paip ekzos di kiri dan kanan. Spoiler belakang melengkapkan lagi penampilan sporty dan agresif Honda Civic Type R prototaip ini.
Walapun belum ada khabar yang sahih sama ada model ini akan memasuki pasaran Malaysia ataupun tidak bila dilancarkan, tidak mustahil ada pengimport-pengimport yang bakal membawanya masuk jika ada permintaan. Macam biasa selepas 4, 5 tahun ia dilancarkan, ia akan menjadi idea konsep modifikasi buat kaki-kaki kereta di sini.