Motosikal

KLIMS 2018: HONDA FORZA – RM31K, SKUTER MAXI UNTUK GOLONGAN HAMPIR BANGSAWAN

Pasaran skuter maxi dilihat semakin meriah dengan kehadiran model terbaharu daripada Honda, Forza.

Forza dilihat melengkapkan lagi barisan model skuter automatik sedia ada Honda dan bakal menjadi pesaing langsung kepada jentera seperti Yamaha X-MAX.

Kehadiran Forza pastinya memberi lebih banyak pilihan kepada para penunggang di Malaysia yang mahukan sebuah model AT yang menarik dan memiliki prestasi mantap.

Penampilan moden itu dipadankan dengan enjin empat injap SOHC, sistem pancitan bahan api dan penyejukan cecair bersesaran 279cc. Ia mampu menjana kuasa maksimum 24.8hp pada 7,000rpm dan tork maksimum 27.2Nm pada 5,750rpm.

Dengan berat 182kg, Forza menerima rekaan yang radikal untuk meningkatkan kecekapan dan pecutan maksimum. Semua itu dilaksanakan menerusi transmisi V-Matic yang menyalurkan kuasa enjin ke roda belakang dengan efisien.

Prestasi mantap ini diselarikan dengan penggunaan bahan api luar biasa yang direkodkan iaitu 346km menggunakan satu tangki penuh 11.5 liter.

Forza direka di atas tapak roda 1,510mm bersama geometri stereng yang tajam untuk membolehkannya mudah menukar haluan, selain sangat lincah apabila penunggang terpaksa mencelah dalam kesesakan jalan raya.

Ia merupakan model AT pertama Honda yang dilengkapi ciri Honda Selectable Torque Control (HSTC). Di samping banyak lagi teknologi dan ciri seperti Brek Anti-Kunci (ABS), Honda SMART Key System, sistem lampu LED sepenuhnya serta ruang penyimpanan kargo di bawah tempat duduk yang boleh menyimpan dua buah topi keledar muka penuh, soket mengecas 12V dan skrin elektrik boleh laras.

Model AT ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu putih mutiara, perak metalik dan hitam metalik.

GALERI

Google ads
Back to top button