
HONDA FREED CROSSTAR BLACK STYLE RASMI DI JEPUN, DARI RM95K
Tidak seperti pasaran Malaysia yang suram, Honda Freed masih lagi mendapat permintaan di tanah airnya di Jepun.
Terbaharu, Honda Jepun telah melancarkan edisi khas “Black Style” untuk model Freed dan Freed+ Crosstar (versi lima tempat duduk) dengan penampilan yang lebih elegan dan bergaya.

Seperti nama yang tertera, Freed Crosstar Black Style didatangkan dengan kemasan hitam pada sesetengah aksesori seperti kemasan jeriji hadapan, rim aluminium 15 inci, pemegang pintu luar, rel bumbung dan sebagainya.
Sementara komponen seperti spoiler bawah dan kemasan bawah depan dan belakang dilayangkan warna gunmetal.

Di pasaran Jepun, kedua-dua versi Freed didatangkan dengan enjin hibrid 1.5 liter kitaran Atkinson i-DCD dengan transmisi DCT tujuh nisbah kelajuan, atau pilihan enjin DOHC 1.5 liter i-VTEC dengan padanan transmisi CVT.
Terdapat pilihan sistem pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda 4WD.
Honda Freed Crosstar Black Style ini dijual pada harga bermula dari 2,868,800 yen (RM94,998), sementara versi yang paling mahal Freed+ Hybrid Crosstar Black Style 4WD pula berharga 3,215,300 yen (RM106,472).























