Buletin

BMW R 18 100 YEARS TAMPIL CITARASA MODEN, KLASIK – TERHAD 10 UNIT SAHAJA, HARGA BERMULA RM159K

BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan jentera BMW R 18 100 Years, di mana ia hanya tersedia 1,923 unit di seluruh dunia. Di Malaysia, ia terhad kepada 10 unit sahaja bagi pelanggan serta peminat jenama ini.

Sarat elemen moden dan klasik, ia dipadankan bersama cat hitam serta krom berglos tinggi dengan jalur halus berkembar berwarna putih, selain terdapat jata ‘100 Years’.

Sentuhan krom juga terdapat pada pelitup roda belakang yang turut memperagakan jalur halus berkembar berwarna putih sementara pelitup roda hadapan serta pelitup sisi dipadankan dengan warna hitam.

Manakala pelana Option 719 pula menerima kemasan berwarna hitam dan “oxblood” berserta corak berlian bertaraf premium.

BMW R 18 100 Years turut dilengkapi pelbagai komponen krom seperti penyedang (fitting) bar hendal, penganjak gear dan tuil brek kaki, pengapit bar hendal, pemberat bar hendal, cermin, silinder utama brek, angkup brek, pelitup selongsong enjin, pelitup kepala silinder serta komponen salur kemasukan.

Selain itu, kemasan permukaan galvanik dapat dilihat pada komponen peredam bunyi Akrapovič di belakang, hadir dengan trim paip ekzos berleliang dalam corak bebaling (propeller) yang direka berdasarkan logo BMW.

Kelengkapan utama lain bagi BMW R 18 100 Years meliputi:

  • Meter baharu dengan paparan multifungsi
  • Lampu hadapan LED penuh
  • Lampu belakang dan brek LED bersertakan indikator
  • Kawalan Stabiliti Automatik (ASC)
  • Tiga mod tunggangan (Rock, Roll, Rain)
  • Tunggangan Tanpa Kunci

Kelengkapan optional yang kini didatangkan secara standard termasuklah:

  • Lampu Hadapan Adaptif
  • Pemanas pendikit
  • Kawalan Permulaan Curam (HSC)
  • Kawalan Luncur
  • Gear mengundur
  • Penutup tangki minyak yang boleh dikunci
  • Panel pemijak (floorboard) berwarna hitam

BMW R 18 100 Years boleh dimiliki pada harga RM159,500 atau RM1,938 sebulan, berdasarkan anggaran pembiayaan Ballon Financing sebanyak 80 peratus bagi tempoh empat tahun.

Para pemilik juga boleh menikmati aneka faedah tambahan menerusi program-program seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia.

GALERI:

Google ads
Back to top button