
RASMI: ZONTES MALAYSIA LANCAR EMPAT MODEL SIRI 368 – DARI 23,800
ZONTES Malaysia memperkenalkan empat model baharu untuk pasaran tempatan sekaligus memeriahkan pasaran skuter bagi pemegang lesen B di Malaysia.
Meskipun keempat-empat model ini bernadikan enjin yang sama namun kesemuanya menawarkan kelainan tersendiri bagi memenuhi kehendak pengguan di Malaysia. Hasilnya, kesemua model menawarkan 38hp dan 40Nm.
Zontes 368D (RM23,800)

Zontes 368D merupakan skuter yang ringan dalam kelasnya ekoran hanya seberat 175kg sekaligus 25kg lebih ringan berbanding 350D sebelum ini.
Dengan 38hp dan 40Nm, 368D menawarkan tunggangan yang bukan sahaja berkuasa malah lincah untuk kegunaan di kawasan bandar dengan kehadiran trafik tinggi.
Zontes 368E (RM25,800)

Zontes 368E merupakan naik taraf dari 350E dan merupakan model pilihan bagi yang meminati aktiviti kembara (touring). Sebagai sebuah skuter Touring, 368E direka khas bagi menawarkan keselesaan yang optimum bagi tunggangan jarak jauh.
Antara kelengkapan ditawarkan termasuk grip pemanas yang membantu ketika menunggang dalam cuaca sejuk atau hujan, ruang letak kaki yang luas (260mm) selain ruang letak barang berkapasiti 50L yang boleh memuatkan dua helmet.
Zontes 368G (RM28,800)

Zontes 368G terus mengukuhkan kedudukan di Malaysia sebagai antara skuter paling popular. Tak hairanlah pada minggu pertama Januari 2025, sebanyak 1,500 tempahan telah pun direkodkan.
Pada tahun yang sama, sebanyak 5,000 unit telah pun berjaya diserahkan kepada pelanggan sekaligus menoktahkan dominasi 368G dalam segmen skuter adventure bersesaran 400cc kebawah.
Antara daya tarikan utama 368G adalah ciri praktikal yang ditawarkan termasuk tangki bahan api berkapasiti 17.5L (paling besar dalam kelasnya) serta ruang letak barang berkapasiti 52L yang boleh memuatkan dua helmet.
Seperti sebelum ini, 368G juga hadir dengan dua varian, Standard (dengan ketinggian tempat duduk 770mm) dan High (dengan ketingggian tempat duduk 795mm).
Zontes 368K (RM27,800).

Bagi tahun 2026, Zontes Malaysia membawakan model ditunggu-tunggu, Zontes 368K yang merupakan skuter gaya moden dengan keupayaan kembara.
Jika 368G tampil dengan reka bentuk lasak, 368K pula lebih moden dan sporty selain menawarkan keselesaan yang lebih baik. Tempat duduk ala sofa menawarkan sokongan tulang belakang yang optimum terutamanya ketika tungggangan jarak jauh.
Ciri yang menonjol termasuk skrin TFT 6.75-inci dengan Luxury UI, penghadang angin elektronik dengan reka bentuk anti-gangguan serta lampu projektor LED dengan auto-sensor.
Sementara itu, kesemua model turut dilengkapi dengan pakej elektronik terkini termasuk Bosch Electronic Throttle Control (ETC), Cruise Control, Traction Control (TCS), TPMS dan ABS.







