HONDA LANCAR WINNER 150 X (RS150R) DI VIETNAM – BREK ABS, HARGA BERMULA RM8,174 SEUNIT
Honda Vietnam Company (HVN) akhirnya melancarkan kapcai paling ditunggu-tunggu, Winner X ke pasaran tempatan.
Majlis pelancaran yang diadakan di Stadium My Dinh itu didakwa dihadiri oleh lebih 40,000 orang pengunjung dan rakan media. Angka itu jelas menunjukkan populariti Honda Winner di sana.
Untuk makluman, Winner 150 diperkenalkan secara rasmi oleh HVN dalam acara Vietnam Motorcycles & Motor Show pada April 2016. Sejak itu, kapcai tersebut mendapat maklum balas yang cukup memberangsangkan.
Angka jualan mencecah lebih 277,000 unit dalam tempoh tiga tahun menjadi bukti popularitinya.
Dikenali sebagai RS150R di Malaysia dan Supra GTR di Indonesia, moped itu dijangka menggunakan enjin sama iaitu DOHC bersesaran 149cc bersama sistem penyejukan cecair serta sistem pancitan bahan api elektronik PGM-Fi yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.
Enjin itu mampu menjana kuasa mencecah 15.4hp pada 9,000rpm dan tork maksimum 13.5Nm pada 6,500rpm.
Hanya dijual mulai 16 Julai depan, model V2 itu menerima banyak penambahbaikan. Sebagaimana yang telah dilaporkan sebelum ini, lampu utama Winner X dipasang pada bahagian dada, di samping rekaan kepala baharu yang lebih tirus.
Aspek keselamatan dipertingkat menerusi sistem brek ABS, pertama dalam segmen kapcai di Vietnam.
Bagi menjangkau audiens yang lebih luas, Honda Vietnam turut menawarkan versi tanpa brek ABS. Sebaliknya digantikan dengan sistem brek gabungan (CBS). CBS berfungsi dengan mengaktifkan brek belakang jika brek hadapan digunakan secara agresif.
Untuk pasaran Vietnam, Winner X ditawarkan pada harga sekitar VND45,990,000 (RM8,174) untuk varian CBS, VND 48,990,000 atau RM8,700 (grafik camo ABS) dan varian warna hitam matte berharga VND 49,490,000 (RM8,869) seunit.
Paparan meter kini juga lebih bergaya apabila Winner meminjam skrin LCD penuh yang sama seperti pada model CB150R. Ia berfungsi memaparkan pelbagai maklumat tunggangan seperti kelajuan, kedudukan gear, takat bahan api, rpm dan waktu.
Lampu isyarat membelok dan lampu belakang yang lebih kecil terdiri daripada lampu LED.
Ekzosnya pula lebih pendek dengan nota bunyi lebih menarik. Pelana direka lebih rata untuk memberi keselesaan kepada penunggang dan pembonceng.
Winner X didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sehingga 30,000km.
- BACA: PANAS! HONDA RS150R V2! ADA BREK ABS!
- BACA: HONDA RS150R V2 DENGAN BREK ABS?
- BACA: HONDA RS150R PULA FACELIFT V2 DENGAN 4 CIRI BAHARU
- BACA: CUBPRIX TANGKAK: YAMAHA Y15ZR “AYAMKAN” HONDA RS150R