
HONDA LANCARKAN PROGRAM PRA-MILIK DIIKTIRAF UNTUK JET – PELUANG TERBAIK ANDA UNTUK MEMILIKI JET PERIBADI
Jika anda seorang trader yang suka berseluar pendek dan memakai rantai berjenama sebesar biji buah kana, inilah peluang anda untuk memiliki jet peribadi sendiri dengan program pra-milik yang diluluskan oleh Honda. Ya, untuk dimiliki dan bukannya disewa untuk melaram dan buat content.

Rasanya semua usahawan ataupun peniaga mengimpikan untuk memiliki jet peribadi. Macam kami yang makan gaji ni dapat naik AirAsia sebulan sekali pun dah dikira satu rahmat. Delay pun delay lah.
Cuma jet peribadi ni harganya sangat mahal dan itu belum termasuk penyelenggaraan, bahan api, gaji juruterbang dan bayaran pakir. Ingat boleh pakir depan rumah ke? Tapi kalau mampu boleh je beli.

Berita baiknya kali ini Honda telah melancarkan satu program khas untuk pembelian jet-jet terpakai. Sama macam program sama untuk kereta di mana anda boleh membelinya dengan harga yang sedikit murah dan mempunyai jaminan kualiti dari Honda.
Program ini untuk memastikan ketenangan jiwa kepada semua pemilik dan bakal pemilik HondaJet untuk masa akan datang. Ia merupakan satu projek jangka panjang dan diharapkan mampu menarik minat lebh ramai hartawan untuk memiliki HondaJet.
Memandangkan kebanyakan pesawat ini sudah diterbangkan beribu batu di udara sudah tentu pilihan terbaik ialah membelinya terus daripada syarkat pengeluar. Honda memberi jaminan kualiti dan sokongan yang diperlukan oleh pelanggan mereka.
Kesemua HondaJet yang dijual menerusi program ini akan melalui pemeriksaan rapi oleh pakar bagi memastikan ia berfungsi dengan baik dan selamat. Malah Honda turut menawarkan khidmat penyelenggaraan termasuklah dalam proses pembelian dan selepas jualan.
Selain pemeriksaan 208 titik wajib, semua pesawat ini dinaiktaraf dari segi prestasi ke tahap maksima berdasarkan buletin servis. Bukan tu sahaja, pembeli turut diberikan program latihan juruterbang FlightSafety Initial dan 6 bulan/100-jam kredit kepada kos program Airframe Flight Ready Performance.
Hah macam mana bakal-bakal trader sekelian, on ke tak on?