Buletin

HONDA MALAYSIA TAWAR PILIHAN WARNA BAHARU UNTUK CITY DAN ACCORD

Honda Malaysia baru-baru menawarkan pilihan warna baharu untuk model paling larisnya, City dan Accord kepada para pelanggan. Kedua-dua sedan itu kini didatangkan dalam warna kelabu metalik (Meteoroid Gray Metallic) yang menggantikan warna Modern Steel Metallic sedia ada. 

City juga menerima warna merah metalik baharu (Ignite Red Metallic), sekali gus menggantikan warna merah mutiara (Passion Red Pearl). 

“Warna kelabu dan merah ini pertama kali diperkenalkan pada City Hatchback. Kedua-dua warna tersebut diterima baik oleh pasaran dan kami menawarkannya sebagai warna pilihan untuk Civic. Untuk mengujakan pasaran, kami turut menawarkannya pada City dan Accord,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo. 

City generasi kelima dilihat terus popular dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi pakej lengkap yang ditawarkannya seperti rekaan sporty, teknologi termaju dan prestasi tiada tandingan. Sehingga kini, lebih 32,599 unit City sudah berada di atas jalan selepas ia dilancarkan. 

City juga menjadi model terlaris Honda Malaysia pada Januari dan Februari 2022 apabila menyumbang sebanyak 38 peratus kepada jualan keseluruhan. 

City RS e:HEV digerakkan oleh enjin 1.5L Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) berkuasa 109PS dan tork 253Nm, paling tinggi dalam kelasnya. Sementara varian petrol seperti V-SENSING, V, E dan S dikuasakan oleh enjin 1.5 DOHC i-VTEC yang mampu menjana 121PS dan tork maksimum 145Nm.

 City hadir dengan pelbagai ciri yang antaranya pertama dalam segmen seperti Electric Parking Brake (EPB) dan Remote Engine Start. Ia juga dipasang dengan ciri keselamatan Honda LaneWatch yang pertama seumpamanya dalam sedan segmen B, selain sistem Honda SENSING. 

Accord generasi ke10 yang diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020 pula dilengkapi enjin turbo 1.5 liter. Sedan itu mendapat sambutan hangat dengan lebih 2,200 unit terjual sehingga kini. 

Maklumat lanjut mengenai warna baharu pada City dan Accord, sila kunjungi mana-mana daripada 102 pusat pengedar sah Honda atau hubungi talian tol percuma 1-800-88-2020.

Google ads
Back to top button