Motosikal

SUZUKI GSX-R150 DAN GSX-S150 KINI DI MALAYSIA. HARGA BERMULA RM10,289

Selain jentera underbone Raider 150R Fi, Suzuki Malaysia turut melancarkan dua lagi model 150cc iaitu Suzuki GSX-R150 dan GSX-S150.

Bagi mereka yang belum biasa dengan motosikal, penerangan ringkas mengenai kedua-dua motosikal ini GSX-R150 ialah model yang dilengkapi fairing penuh. Manakala GSX-S150 pula merupakan model kembar, tetapi dengan gayaan naked.

Kedua-dua model GSX-R150 dan GSX-S150 mempunyai banyak persamaan terutama dari segi enjin, sistem, kerangka dan ciri-ciri lain.

Jadi GSX-R150 dan GSX-S150 menggunakan enjin 150cc silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 18.9hp pada 10,500 rpm dan tork 14.0 Nm pada 9,000rpm.

Enjin berkenaan menggunakan teknologi seperti nisbah bore dan stroke yang dioptimasikan, sistem pancitan bahan api elektronik termaju, diameter badan pendikit yang terbesar dalam kelas 150cc, serta bahan salutan silinder Suzuki Composite Electrochemical Material (SCEM) yang terbukti dari litar lumba.

GSX-R150 dan GSX-S150 menggunakan transmisi enam kelajuan, dibantu dengan sistem brek cakera bersaiz 290mm di depan dan 187mm di belakang.

Selain daripada sistem kemasukan tanpa kunci, GSX-R150 dilengkapi ciri paparan kluster instrumen LCD penuh yang memudahkan paparan informasi penting seperti kedudukan gear, notifikasi servis penyelenggaraan, trip perjalanan, penggunaan bahan api dan sebagainya.

Suzuki GSX-R150 hadir dengan dua warna dan grafik menarik seperti Metallic Triton Blue dan Red Titan Black. Manakala GSX-S150 pula boleh didapati dalam warna Aura Yellow/Pearl Brilliant White atau Metallic Triton Blue.

Harga jualan tidak termasuk insurans dan cukai jalan adalah seperti berikut:

GSX-R150 – RM11,329

GSX-S150 – RM10,289

GALERI

Google ads
Back to top button