Buletin

HONDA N-BOX 2ND GEN – KAU JANGAN HARAP AKAN JUAL DI MALAYSIA

Honda baru sahaja memperkenalkan model kei-kar terkenalnya, N-Box di pasaran Jepun.

Menjadi model kei-kar terlaris  untuk dua tahun berturut-turut di negara matahari terbit itu, N-Box ditawarkan dalam dua varian iaitu standard dan N-Box Custom. 

N-Box dikuasakan oleh enjin baharu bersesaran 660cc yang mampu menjana kuasa 58PS dan tork 65Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT, bersama pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda. 

 Bagi mereka yang mahukan lebih kuasa, enjin turbo ada ditawarkan.

Sekali pandang, perubahan paling ketara ialah fascia hadapan dengan rekaan baharu dan lampu utama jenis LED (N-Box Custom). Masih mengekal reka bentuk kotak yang comel, model generasi kedua itu menawarkan ruang kabin lebih luas.

Bukan itu sahaja, dibina di atas platform dan teknik penyambungan yang baru, N-Box kini 80kg lebih ringan serta tegar berbanding model terdahulu.  

Menjengah ke bahagian dalam, ia dipasang dengan stereng tiga jejari, butang penghidup enjin serta paparan multi maklumat pada kluster instrumen. Pelbagai pilihan diberikan termasuklah GPS dan tempat duduk Aller Clean.

 Honda telah menambah baik aspek praktikaliti ruang kabin N-Box melalui fungsi Super Slide untuk tempat duduk hadapan. Ia kini boleh digelongsor sejauh 570mm ke hadapan.

 

Dengan lantai dan bumbung yang rata, penumpang boleh berjalan dari hadapan ke belakang tanpa sebarang masalah. 

 N-Box menjadi model kei-kar pertama yang dilengkapi sistem keselamatan seperti enam beg udara dan Honda SENSING .

Antara fungsinya termasuklah Collision Mitigation Braking, False Start Prevention, Traffic Sign Recognition dan Road Departure Mitigation. Tidak terkecuali, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist dan Pedestrian Collision Mitigation Steering System.

Ia hadir dalam sembilan warna dan empat warna dua tona sebagai pilihan. Jentera itu ditawarkan pada harga bermula ¥1,385,640 (RM53,705) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button