
HONDA NSX PERTAMA KELUAR KILANG
Model yang paling ditunggu-tunggu dekad ini secara rasminya telah memulakan produksinya di kilang baru Honda di Ohio Amerika Syarikat. Model pertama dengan casis VIN 001 ini telah dibeli oleh Rick Hendrick dalam satu acara lelongan awam yang mencatatkan harga bidaan tertinggi AS$1.2 juta (RM5 juta).
Hasil lelongan ini akan diserahkan kepada Yayasan Barah Otak Pediatrik dan Kem Tanah Selatan. Sebagai penghormatan Rick Hendrick dibenar untuk memilih proses custom mengikut kehendak beliau.
Hasilnya, Acura NSX pertama ini dipasang dengan stereng dengan tenunan khas, brek cakera karbon seramik, kemasan dalaman menggunakan kulit dan Alcantara. Selain kemasan karbon termasuklah pada penutup enjin, bumbung dan spoiler belakang.
Kilang Performance Manufacturing Centre (PMC) ini merupakan pusat terbaru Acura di benua Amerika yang memberi fokus sepenuhnya terhadap produksi kereta berprestasi tinggi mereka.
Inovasi NSX bermula dari binaan awal, kerja-kerja mengecat, pemasangan dan kimpalan MIG automatik sepenuhnya. Secara puratanya, sebuah NSX dipasang oleh 16 orang juruteknik terpilih yang berpengalaman luas dari pelbagai latar belakang, termasuklah perlumbaan.
Di daerah Anna, kilang berdekatan pula bertanggungjawab memasang enjin 3.5 liter twin turbo V6 yang dipadankan dengan transmisi 9 kelajuan automatik, klac berkembar.
Soalannya, adakah ia akan masuk Malaysia?
Kita tunggu kereta ini dieksport ke Jepun terlebih dahulu. Sebab ia dipasang di Amerika, berkemungkinan versi pemanduan sebelah kanan akan mengambil sedikit masa.











