HONDA NSX-R NAK DILELONG. HARGA BERMULA RM1.7 JUTA
Pada awal tahun 1990-an Honda memperkenalkan varian Type-R bagi jentera legenda enjin tengah iaitu NSX yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat automotif.
Tidak menghairankan apabila sehingga kini, model jentera itu masih menjadi ‘buruan’ penggemar kereta malah memiliki nilai sangat tinggi.
Pakar kereta Jepun berpangkalan di United Kingdom (UK), Torgue GT sentiasa mencari jentera Jepun untuk dilelong kepada khalayak umum.
Terbaharu, mereka menyenaraikan NSX-R generasi kedua untuk dilelong pada harga bermula AS$408,000 (RM1.7 juta).
Harga permulaan tersebut adalah tiga kali ganda dari NSX standard malah dijangka mampu mencecah sehingga AS$500,000 (RM1.9 juta).
Generasi NA2 Rs ini berdasarkan NSX facelift (2002) dan jumlah kereta berkenaan lebih sedikit berbanding NSX-R original.
Honda menghasilkan hampir 500 unit NA1 NSX-Rs dan 140 unit NA2.
NSX-R memiliki berat kira-kira 100kg lebih ringan berbanding NSX biasa berikutan penggunaan gentian karbon pada beberapa bahagian badan dan membuang beberapa ciri termasuk stereng berkuasa elektrik.
Jentera itu mendapat khidmat enjin V6 3.2 liter yang mampu menjana kuasa 286hp dipadankan transmisi manual enam kelajuan. NSX-R rare tersebut memiliki perbatuan 50,920km. –carscoops