Artikel Pilihan

WALNUT BLASTING, CUCI INJAP KEMASUKAN BAGI ENJIN DIRECT INJECTION

Mulai tahun 2002 dan ke atas, enjin pembakaran dalam dimodenkan demi memenuhi kehendak pelepasan asap yang lebih bersih. Maka saiz enjin dikecilkan, dipasang dengan suntikan bahan api terus (direct injection) serta dipadankan dengan turbo.

Hasilnya ialah enjin mengurangkan penggunaan bahan api, asap semakin kurang dan kuasa enjin dikekalkan. Malah beberapa jenama besar automotif Jepun turut menggunakan sistem suntikan bahan api terus bagi meningkatkan kecekapan terma enjin walaupun tidak dipadankan dengan turbo.

Dengan ini nisbah mampatan yang lebih tinggi dapat digunakan tanpa mengalami masalah knocking. Masalah daripada adaptasi suntikan bahan api terus dan turbo tekanan tinggi ini akan menyebabkan enjin beroperasi dalam keadaan “stress” dan sentiasa dalam keadaan tekanan tinggi.

Jika tidak bernasib baik, campuran udara dan petrol yang terbakar tadi akan bergerak ke bawah enjin melepasi piston ring terus ke bahagian crankcase enjin (blowby). Tambah lagi teruk, ketika proses ini berlaku minyak enjin boleh berubah menjadi wap dan bercampur sekali. Dulu-dulu sewaktu isu pencemaran udara ini tidak dipedulikan, asap atau campuran udara dan petrol ini akan dibebaskan terus keluar enjin bagi mengekalkan tekanan enjin.

Tapi sekarang tak boleh, campuran ini mesti dibakar sekali lagi bagi memastikan tiada pencemaran hidrokarbon berlaku. Udara, bahan api tidak terbakar dan asap tadi akan disalurkan semula ke intake manifold melalui Poitive Crankase Ventilation System untuk dibakar dan dibebaskan melalui sistem ekzos untuk dibersihkan.

Masalah mulai timbul apabila campuran ini akan mengotorkan injap kemasukan enjin. Bagi enjin dengan sistem suntikan biasa (EFI dengan sistem suntikan berada di belakang injap kemasukan), kotoran atau enapan karbon tadi akan dibersihkan apabila petrol dipancutkan pada injap kemasukan sebelum memasuki kebuk pembakaran.

Petrol yang mengandungi peluntur atau ejen pembersih akan memastikan injap kemasukan sentiasa bersih dari enapan karbon. Kadangkala apabila kereta diservis, bahan kimia iaitu injector cleaner akan dimasukkan dalam tangki petrol bagi tujuan ini.

Malangnya bagi enjin dengan sistem suntikan bahan api terus yang dipasang dalam silinder, enapan karbon ini akan sentiasa bertambah. Carbon build up atau enapan karbon ini akan menghalang udara masuk, mengurangkan volumteric efficiency bagi enjin. Akibatnya enjin akan mengalami simptom kehilangan kuasa.

Kalau lagi teruk, mungkin enjin akan mengalami missfire atau knocking disebabkan karbon ini adalah penebat haba. Selain berpunca daripada sistem PCV, enapan karbon juga boleh berpunca daripada sistem EGR (exhaust gas recycle) dimana gas ekzos akan dikitar semula melalui sistem pemasaan injap (dual – VVTi atau VTC).

Pergerakan injap dalam kepala silinder sendiri dengan valve guide dalam kepala silinder yang dilicinkan dengan minyak enjin boleh menjadi punca kepada pembentukan enapan karbon. Bagi enjin dengan sistem suntikan bahan api EFi atau multipoint port injection, guna sahaja injector cleaner bagi menyelesaikan masalah ini.

Bagi sistem dengan direct injection, anda perlu melakukan prosedur walnut blasting bagi menyelesaikan isu ini. Selain digunakan untuk buat biskut raya dan kek, kacang walnut yang keras ini digunakan untuk memecahkan enapan karbon dalam enjin melalui peralatan khas

Prosedur ini ada disediakan di pusat servis mengikut jenama kereta masing-masing, pusat servis persendirian dan kalau anda berani dan tahu buat DIY, anda boleh buat sendiri. Cuma pastikan semasa prosedur ini dibuat, injap kemasukan tertutup sepenuhnya. Kalau kacang walnut ini termasuk dalam enjin, masakkkkk..

Google ads
Back to top button