HONDA PANDU UJI MODEL PRELUDE 2026. TAK LAMA DAH NI…
Sebuah kereta prototaip telah dilihat diuji di jalan raya terbuka di Jerman baru baru ini oleh laman sesawang berita automotif iaitu Cars & Driver, dan berdasarkan rekaan luar besar kemungkinan model prototaip yang diuji ini ialah Honda Prelude 2026
Berdasarkan gambar yang diperolehi, model prototaip Honda Prelude ini menggunakan rekaan 100% hampir sama dengan model konsep yang dipamerkan pada Tokyo Mobility Show pada tahun lepas. Walaupun ditutup dengan pelekat biru, namun beberapa design spesifik pada model Prelude tetap kelihatan
Antaranya jeriji depan nipis antara lampu depan, sumbung belakang dengan rekaan fastback yang hampir sama dengan Prelude terdahulu serta rekaan rim yang menggunakan bentuk yang sama. Buat masa ini kita hanya boleh meneka berkenaan dengan sistem trenkuasa yang digunakan, iaitu trenkuasa hibrid e:HEV yang digunakan pada CR-V, dan juga Civic
Walaupun satu ketika dulu Honda pernah menghasilkan CR-Z hibrid lengkap dengan transmisi manual, namun bagi Prelude yang serba baru ini pilihan transmisi manual adalah hampir mustahil untuk direalisasikan.
Ini kerana sistem hibrid e:HEV tidak menggunakan transmisi, sebaliknya bergantung pada 2 motor elektrik dan juga enjin sebagai pengecas bateri sistem hibrid. Bagi Honda CR-V, sistem e:HEV dengan padanan enjin 2000cc Atkinson dan motor elektrik menjana sehingga 204 kuasa kuda manakala Civic pula sekitar 200 kuasa kuda
Honda Prelude dilihat sebagai sebuah kereta coupe 2 pintu yang lebih besar daripada CR-Z, namun tidak agresif seperti Honda Civic Type R FL5. Sebaliknya model ini akan menggantikan Honda Accord Coupe yang tidak lagi dihasilkan, dengan falsafah Gran Turismo pacuan roda depan.