Buletin

HONDA XR150L 2023 MENDARAT DI AS – BERAT 127.9KG, ENJIN 149.2CC, HARGA RM13K

Selaras dengan matlamat Honda untuk menawarkan pengalaman bermotosikal, Honda mengumumkan motosikal dual sport XR150L 2023 untuk pasaran Amerika Syarikat (AS).

Honda mereka bentuk XR150L 2023 untuk penunggang pemula, tetapi ia tetap memberikan prestasi terbaik di laluan off-road.

XR150L 2023 mempunyai kedudukan tunggangan tegak serta bar hendal tinggi untuk memberikan pergerakan yang selesa dengan jarak kelegaan bumi 9.6 inci, ketinggian tempat duduk 32.8 inci dan berat keseluruhan hanya 127.9 kilogram.

Ia menggunakan angkup brek hidraulik dwi-omboh bersama cakera 240mm di hadapan dan jenis brek gelendung bersaiz 110mm di belakang.

Honda XR150L 2023 menggunakan penyerap hentak konvensional 31mm yang dipadan bersama penyerap hentak tunggal di belakang.

Seperti dipaparkan dalam gambar, Honda XR150L 2023 tampil dengan rim lidi bersaiz 19-inci untuk hadapan dan 17-inci di belakang.

Ciri lain Honda XR150L termasuklah boleh dihidupkan melalui elektrik dan tendangan kaki.

Dari segi kuasa, XR150L dipasang dengan enjin 149.2cc empat lejang sejukan udara dan digandingkan dengan transmisi lima kelajuan serta padanan rantai 428 dan gegancu 17T/49T.

Selain itu, XR150L dibekalkan dengan tangki 10.5 liter untuk menawarkan penjimatan serta jarak perjalanan lebih baik.

Tidak cukup dengan itu, Honda turut menyediakan pelbagai aksesori antaranya beg tangki, beg sisi, pelindung tangan, plat kelincir dan soket aksesori 12V.

Honda XR150L 2023 boleh didapati dalam warna hitam atau putih pada harga AS$2,971 (RM13,298) dan akan tersedia di pengedar bulan depan. – Careta

Google ads
Back to top button