Buletin

NISSAN LEAF 2023 FACELIFT. BERMULA RM168K, JARAK GERAK 311KM. PROGRAM LANGGANAN 3 TAHUN, CUMA RM1.8K SEBULAN

Nissan LEAF 2023 yang diperkenalkan kepada media semalam hadir dengan beberapa kemas kini serta harga yang lebih murah.

Bakal dilancarkan secara rasmi pada 10 Mac depan, EV generasi kedua daripada Nissan itu membuktikan komitmen Nissan untuk menawarkan mobiliti elektrik kepada pengguna di Malaysia.

Dari segi penampilan luaran, antara perubahan yang diterima pada bahagian hadapan ialah logo baharu Nissan, bampar bawah direka semula dan perumah lampu utama LED berwarna hitam. Bahagian sisi diserlahkan dengan rim rekaan baharu bersaiz 17 inci.

Perubahan di bahagian belakang cukup minimum dengan spoiler, logo baharu dan peresap udara yang dahulu berwarna biru ditukar kepada warna kelabu.

Profil aerodinamiknya disempurnakan lagi dengan gabungan lampu belakang yang mengalir sehingga ke bahagian spoiler.

Di menjengah ke bahagian kabin pula, tidak banyak perubahan yang dilakukan. Apa yang baharu cuma cermin pandang belakang yang boleh ditukar menjadi seperti kamera digital sekiranya pandangan terhalang.

Skrin untuk sistem infotainmen kini juga lebih besar iaitu 8 inci (sebelum ini 5 inci tanpa fungsi sentuh) serta disokong oleh ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth dan Voice Recognition.

Pelanggan juga boleh memilih kemasan tempat duduk sama ada warna beige atau hitam dengan jahitan benang biru.

Aspek praktikaliti tidak diabaikan kerana kapasiti but belakang mampu menawarkan ruang seluas 435 liter dan boleh menjadi 1,176 liter apabila tempat duduk baris belakang dilipat.

Perubahan paling ketara yang diterima LEAF 2023 ialah penggunaan pengecasan Type 2 AC 6.6 kW. Jika menggunakan wallbox di rumah atau pejabat, bateri boleh dicas penuh dalam masa tujuh jam. Kalau tiada wallbox dan hanya menggunakan AC 3 pin di rumah, EV ini memerlukan masa sehingga 12 jam untuk dicaj sepenuhnya.

Sebagai sebuah EV dari Jepun, pengecasan pantas (DC) CHAdeMO 50kW masih dikekalkan yang menawarkan tempoh pengecasan hanya 1 jam.

Kabel pengecas AC 3-pin itu didatangkan bersama kereta, tetapi pemasangan AC Wall Box ditawarkan sebagai pilihan.

Leaf 2023 tidak menerima sebarang perubahan mekanikal. Ini bermakna ia masih lagi dikuasakan oleh motor tunggal berkuasa 148hp dan tork 320Nm.

Kuasa disalurkan melalui pacuan roda depan (FWD) menerusi bateri litium-ion 40kWh yang mampu dipandu sejauh 311km dengan sekali caj mengikut ujian Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC).

Model facelift itu mampu memecut dari 0-100kmj dalam masa 7.9 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 155km/j sahaja.

Nissan turut menaik taraf ciri-ciri keselamatan baharu seperti Amaran Tukar Lorong (LDW) di mana stereng akan bergegar jika pemandu keluar lorong tanpa signal belok diaktifkan. Selain ciri Intelligent Rear View Mirror, High Beam Assist kamera 360, Bantuan Mendaki Bukit serta brek e-Pedal yang dioptimumkan.

Leaf facelift ditawarkan pada harga RM168,888 lebih murah berbanding Nissan LEAF sedia ada yang dijual pada harga RM175,800.

Harga tersebut merangkumi jaminan selama tiga tahun atau perbatuan 100,000km (mana-mana tiba dahulu) dan jaminan bateri selama lapan tahun atau perbatuan 160,000km (mana-mana tiba dahulu).

Lebih menarik lagi, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kini ada menawarkan program langganan LEAF pada harga cuma RM1,800 sebulan (tidak termasuk insurans dan penyelenggaraan) selama 3 tahun.

Sebagai perbandingan, harga plan sewaan model Nissan sebelum ini adalah RM2,300 termasuk insurans dan penyelenggaraan.

Jika berminat, LEAF 2023 didatangkan dalam enam pilihan warna menarik iaitu kelabu, tembaga, ungu, biru, hitam, Burgundy dan putih mutiara.

GALERI:

Google ads
Back to top button