Artikel Pilihan

MUGEN CIVIC RR ADVANCED CONCEPT – PENJELMAAN TYPE R YANG LEBIH SADO

Anda peminat jenama H? Kalau jenama H takkan tak minat Honda FD. Walaupun ia telah digantikan dengan model FK tapi bagi kami FD masih sebuah model yang istimewa kerana ia menawarkan varian Type R 4-pintu.

Kali ini kami perkenalkan satu model otai Type-R versi FD. Ia dinamakan Mugen Civic RR Advanced Concept. Mugen Civic RR Advanced Concept yang diperkenalkan kepada peminat Honda pada tahun 2009 ini diasaskan daripada Civic Type-R FD2 yang diperkenalkan pada tahun 2008. Tapi kali ini ia dinaiktaraf sehingga melebihi kehebatan Mugen Civic Type-RR yang juga diperkenalkan mereka pada tahun 2007.

Secara asasnya semua bahagian panel yang boleh ditanggalkan telah digantikan dengan komponen yang diperbuat daripada gentian karbon. Enjinnya dinaiktaraf dan begitu juga dengan bahagian suspensi, brek dan tayar. Bodykit baru diperkenalkan begitu juga dengan penggunaan komponen daripada titanium. Hasilnya lahirlah sebuah model dengan enjin K-Series 2.2L NA 260 hp dan mampu mengelilingi litar Tsukuba hanya dalam masa 1:04.096.

Tengok sahaja risalah asal yang digunakan dan anda akan dapat saksikan betapa ringan komponen-komponen yang digunakan. Pintunya yang diperbuat daripada gentian karbon juga terlalu ringan sehinggakan menyusahkan betul kalau nak tutup pintu. Kena hentam tutup kuat-kuat baru menjadi. Kena pakai komponen gentian karbon ori baru ringan. Kalau setakat pakat pelekat gentian karbon Encik DIY memang tak jadi bang.

Jadi bagaimana pencapaian Mugen RR Advanced Concept ni kalau dibandingkan dengan Civic Type R dan Mugen Civic RR? Mari kita tengok catatan rekod sepusingan litar Tsukuba.

  1. Civic Type R: 1:07”494 (15 Mac 2007)
  2. Mugen Civic RR: 1:06”688 (15 Mac 2007)
  3. Mugen RR Advanced: 1:04”906 (5 Disember 2008)

Untuk lebih jelas sila perhatikan telemetri time-attack Mugen RR Advanced Concept. Kalau Mugen dah cakap yang aksesori mereka memang terbukti di litar, ia ternyata bukan cakap-cakap kosong.

Kehebatan Mugen RR Advanced Concept ini sebenarnya terletak pada enjin Mugen 2.2L yang mampu menjana 260 hp kuasa maksima pada 8,250 RPM! Untuk perbandingan Type R mempunyai 225 hp kuasa dan Mugen Civic RR pula mempunyai 240 hp kuasa berbanding 260 hp pada Mugen Advanced Concept ini. jadi sekarang kita dah tahu siapakah King Type-R versi FD sebenarnya.

Google ads
Back to top button