
WANITA MENGAMUK BUAT AKSI MACAM SPIDERMAN BERHAMPIRAN CIQ GELANG PATAH DITAHAN POLIS
Seorang wanita dan lelaki yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, Ahad lalu, sudah ditahan polis malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di Pos Pemeriksaan Kastam laluan masuk Singapura ke Malaysia di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang pada jam 9.15 malam tadi.
“Kedua-dua suspek masing-masing berusia 46 dan 18 tahun itu mengaku terbabit dalam kes khianat berkenaan sebelum ditahan untuk siasatan. Kedua-dua suspek direman sehari bermula hari ini.
“Menerusi maklumat awal, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana kenderaannya dihalang serta bergesel dengan kenderaan mangsa ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan polis sedang mengesan dua suspek lelaki dan perempuan yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, di sini, pada 10 Julai lalu.
Dalam kejadian jam 10 pagi Ahad itu, kenderaan dipandu mangsa bergesel dengan kereta dipandu dua suspek berkenaan.
Ketika kejadian, mangsa yang menaiki Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek dari arah kanan.
Suspek dilaporkan memberhentikan kenderaan dan bertindak menjerit perkataan lucah serta menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa, manakala suspek wanita mencabut nombor pendaftaran kenderaan mangsa dan mencampak ke arah cermin hadapan.
Ketika kejadian, mangsa dilaporkan dalam perjalanan pulang dari Forest City ke Singapura.
Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun terdapat kerosakan pada keretanya. Kes berkenaan mendapat liputan meluas media berikutan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari ‘dashcam’ dalam kereta mangsa selain video tular dirakam pengguna jalan raya lain. – Harian Metro





