
HONDAJET ELITE II BOLEH MENDARAT DENGAN SENDIRI WAKTU KECEMASAN
Teknologi berhenti sendiri di bahu jalan sudah pun ditawarkan pada beberapa kereta moden yang dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomi.
Kini, ciri yang sama boleh didapati pada model jet peribadi yang dihasilkan oleh Honda.
Model baharu ini menampilkan bantuan pada kawalan stereng, sistem pengurusan kuasa Autothrottle, ground spoiler untuk membantu proses pelepasan dan pendaratan, serta ciri Emergency Autoland tanpa bantuan manusia terutama di dalam situasi kecemasan.
HondaJet Elite II menampilkan liveri badan berwarna hitam Black Edition sebelum dikemaskan dengan jalur hiasan berwarna merah.

Berbanding model-model terdahulu (Elite dan Elite S), Elite II ini dikatakan mampu mencapai jarak penerbangan sejauh 2,865 km untuk setangki penuh dengan muatan empat orang penumpang.
Had berat pelepasan juga telah dinaikkan kepada 5,035 kg, berbanding 4,854 kg untuk model Elite dan 4,944 kg untuk model Elite S.
Namun, ruang kargo pula hanyalah sebesar 1,756 liter sahaja.
Elite II masih lagi mengekalkan enjin jet GE Honda HF120 yang mampu mencapai kelajuan tertinggi 422 knot atau 782 km/j.