MAZDA CX-3 1.5 PLUS & 2.0 PLUS, SEMUA KOMPLEN DAH DIJAWAB.. HAAA BELI LA
Ketika model kemaskini dihasilkan pada tahun 2022, Mazda memperkenalkan CX-3 1.5 Core dan CX-3 2.0 Core bagi memenuhi harga yang lebih mampu milik untuk bakal pembeli. Namun tindakan Mazda yang mengurangkan beberapa ciri keselamatan dan kelengkapan pada model Core nampaknya mengundang kecaman daripada pengguna
CX-3 1.5 Core dijual dengan harga RM 108,000 manakala 2.0 Core pada RM 118,000 kelihatan lebih mampu milik, tetapi tak semua pengguna boleh menerima hakikat yang ia hanya dipasang dengan lampu halogen di depan, lampu belakang dengan mentol biasa, dan juga hanya menerima 2 beg keselamatan udara sahaja.
Jadi bagi model yang menerima kemasan terbaru 2023, Mazda kali ini mengetengahkan model 1.5 Plus dan juga 2.0 Plus yang dijual pada harga RM 118,000 bagi varian 1.5 Plus dan RM 128,000 bagi varian 2.0 Plus. Sama seperti sebelum ini, semua model adalah diimport sepenuhnya daripada Thailand dan tertakluk dengan tukaran wang asing
Keadaan ini sedikit sebanyak menerangkan kenapa harga Mazda CX-3 sebenarnya tinggi sedikt berbanding dengan pesaingnya yang lain. Varian 1.5 menerima enjin 1500cc 4 silinder yang menjana 114 kuasa kuda dan 149Nm tork pada 4000 RPM. Bagi enjin ini, nisbah mampatan ditetapkan pada 14:1.
Bagi varian 2.0, nisbah mampatan ditetapkan pada 13:1, tetapi masih berupaya menjana sehingga 154 kuasa kuda dan 206Nm tork pada 2800 RPM. Semua varian digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan automatik
Berdasarkan pemerhatian penulis, berikut ialah kemasan dan perkara yang baru ditambah pada kedua-dua model:
1. Lampu depan LED bagi menggantikan lampu mentol dengan halogen serta dipasang dengan DRL LED. Kedua dua model tidak dipasang dengan lampu kabus depan
2. Lampu belakang LED dengan signature light dengan LED bagi menggantikan mentol biasa serta kamera undur belakang
3. Sistem Mazda i-Connect dengan Apple Car Play tanpa wayar, android Auto, penukar gear di belakang stering ditawarkan pada kali ini berbanding pada tahun 2022 yang tidak dipasang dengan semua ciri di atas
4. Kemasan baru pada papan pemuka yang menggantikan balutan seude serta fabrik rekaan baru yang kelihatan agak kosong walaupun diberikan kemasan denim pada bahagian tepi. Semua varian menggunakan rekaan dan kemasa 100% sama antara satu sama lain
5. Sistem keselamatan dipertingkatkan merangkumi 6 beg udara, Auto High Beam, Sistem Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Lane Departure Warning dan Smart City Brake Support yang sebelum ini tiada pada varian 1.5 Core dan 2.0 Core
Secara jujurnya peningkatan harga yang diberikan sebanyak RM 10,000 secara kasar pada setiap varian adalah nampak berbaloi dengan penawaran tambahan. Cuma sayangnya dari segi luaran, secara jujurnya CX-3 sebenarnya sudah nampak agak ketinggalan dalam rekaan luar
Ia masih menggunakan rim 16 yang dibalut dengan tayar Bridgestone Turanza 215/60 bagi varian Plus. Cubaan Mazda untuk meremajakan model ini terhad dengan penggunaan warna baru seperti Polymetal Grey, Machine Grey, Soul Red Crystal, Jet Black, Platinum Quartz, Snowflake White Pearl dan Aero Gray.
Berikut ialah pengalaman pemanduan yang ditawarkan oleh Mazda CX-3 1.5 Plus dan 2.0 Plus berdasarkan pemerhatian penulis:
1. Dari segi pecutan, varian 2.0 Plus menawarkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan varian 1.5 Plus. Ia mampu memecut 0-100km/jam dalam masa 9 saat berbanding dengan 1.5 Plus yang mengambil masa 12.3 saat untuk laju yang sama
Pada hemat penulis, kedua dua model menggunakan set gear yang sama menjadikan varian 2.0 dengan tork 206Nm pada 2800 RPM ada kelebihan walaupun varian 2.0 37kg lebih berat. Malah varian 2.0 mencapai halaju tertinggi pada 197km/jam berbanding dengan 1.5 pada 175km/jam
2. Pada RPM bawah, varian 1.5 terasa seperti kurang lancar dan perlu diperah sedikit ataupun beroperasi dalam mode Sport bagi memerah kuasa pada tahap maksimum. Namun pada halaju tinggi, anda tidak perasan sangat dengan kekurangan pada enjin 1.5 ini
Cuma varian 1.5 Plus ada kelebihan tersendiri iaitu menawarkan penjimatan petrol yang lebih baik, dengan purata 17.4km bagi setiap liter petrol. Anda boleh memandu sehingga 550km dengan setangki penuh. Manakala bagi varian 2.0 Plus ia menawarkan penggunaan 15.8km bagi setiap liter
Angka di atas adalah berdasarkan pemanduan biasa, dan sekiranya anda memandu dengan berhemah mungkin penggunaan bahan api adalah jauh lebih baik. Talaan gear juga dibuat agar menghasilkan rasa yang agresif berbanding dengan CX-5 yang lebih santai dan relaks.
3. Sistem brek, suspensi dan stering bagi kedua dua model adalah ditala dengan lebih sporti berbanding dengan Mazda CX-5 secara umumnya. Keadaan ini memberi dorongan kepada anda untuk memandu dengan agresif di selekoh, di lebuh raya dan hanya diperlahankan apabila melalui jalan yang tidak rata.
Respon stering adalah bagus dan pergerakan cesi ketika melalui selekoh boleh diagak dengan baik walaupun ia menggunakan sistem EPS. Cuma dari segi keselesaan cesi dan prestasi di selekoh, model baru seperti CX-30 adalah jauh lebih baik dengan olengan cesi terasa lebih mahal dan selesa.
4. Walaupun kusyen depan menggunakan tetapan manual dan hanya varian 2.0 High sahaja yang menggunakan kusyen kuasa elektrik, anda boleh mengubah kedudukan kusyen pada kedudukan yang paling ideal dan selesa mengikut postur badan anda.
Keadaan ini membenarkan penulis untuk memandu CX-3 dalam keadaan berpuasa selama 2-3 jam secara terus tanpa rasa letih. Kedudukan badan, kaki dan tangan boleh dilaras secara manual tanpa sebarang masalah
5. Namun dengan hanya jarak antara roda pada 2570mm, CX-3 terasa agak sempit terutama pada penumpang belakang sekiranya anda lebih tinggi daripada 170mm. Mungkin juga MyVi terasa lebih luas berbanding dengan CX-3
6. Namun ruang belakang tetap menyediakan sekitar 350 ruang kargo dan boleh dibesarkan menjadi 11744 liter apabila kusyen barisan kedua dilipat. Ia juga menyediakan kaedah melipat dengan ratio 60:40.
7. Satu lagi perkara yang tidak memuaskan hati penulis ialah CX-3 hanya menyediakan 2 poin USB sahaja untuk semua penumpang dan berada jauh di depan. Hanya ada satu sahaja soket 12 Volt yang disediakan di bahagian tengah konsol di bawah perehat tangan.
Mungkin sudah tiba masanya untuk Mazda menggantikan platform sedan atau SUV segmen B ini dengan segera bagi menghasilkan CX-3 generasi baru memandangkan pesaingnya yang lain sudah lama berbuat demikian, atau merombak terus rekaan luar CX-3 ini dan berikannya rekaan luar mengikut rekaan Mazda lain yang lebih moden
Jadi buat masa sekarang, CX-30 akan menjadi pertaruhan pada Mazda bagi sebuah SUV kompak.