
HYUNDAI BAGI DISKAUN EV TERMASUK IONIQ 5 N DI KOREA, LAGI RAMAI DAPAT MILIKI
Bukan tidak mahu tetapi terdapat sejumlah pengguna yang berminat untuk memiliki kenderaan elektrik (EV) namun tidak menjumpai harga bersesuaian.
Ada yang mahu mencuba tetapi tidak mahu mengeluarkan sejumlah wang kerana teknologi EV belum matang sepenuhnya.
Di sebalik alasan tersebut, pengeluar kenderaan mahu mencari pelanggan serta penguasaan pasaran dan persaingan sengit mendorong mereka untuk memberikan diskaun dan pemotongan harga.
Persaingan harga adalah perkara biasa dan ini mengingatkan kepada industri telefon pintar satu ketika dahulu apabila jenama-jenama baharu memasuki pasaran.
Selepas beberapa tahun, pasaran terbahagi kepada segmen mampu milik, pertengahan dan andalan.
Dari situ pengguna boleh membuat keputusan masing-masing dan pengeluar telefon sudah tahu untuk mempakejkan produk mereka mengikut spesifikasi setara dan tidak bergantung sepenuhnya pada strategi buang harga.
Terbaru Hyundai mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 3 juta sehingga 5 juta won (RM9.17 ribu – RM15.3 ribu).
Menurut Hyundai, promosi ini bertujuan untuk memperluaskan pemilikan EV di Korea Selatan sambil mengurangkan beban kewangan pelanggan.
Hyundai juga akan terus memperkukuh insentif pembelian serta menawarkan pelbagai program bagi memudahkan pemilikan EV.
Bukan sebuah tetapi sembilan EV termasuk model premium Genesis layak menerima diskaun!
Diskaun tertinggi mengikut model:
-
Ioniq 5, Ioniq 6 → ₩3,000,000 (RM9,173)
-
Kona Electric → ₩4,000,000 (RM12,231)
-
Porter II Electric, ST1 → ₩5,000,000 (RM15,294)
-
Ioniq 5 N, Casper Electric → ₩1,000,000 (RM3,057)
-
Genesis GV60 → ₩3,000,000 (RM9,173)
-
Genesis Electrified G80 → 5% (Bergantung mengikut harga model)
Anggaran harga di Seoul (selepas diskaun dan subsidi)
Ioniq 5 2WD Long Range rim 19 inci (tanpa kamera terbina dalam)
- Harga asal: ₩54,100,000 (RM165,357)
- Harga akhir: ₩44,380,000 (RM135,648)
Termasuk:
- ₩6.13 juta (RM18,740) – subsidi berkaitan diskaun pengeluar
- ₩590 ribu (RM1,804) subsidi pemerintah Seoul
- ₩3 juta (RM9,174) diskaun Hyundai
Ioniq 6 2WD Standard rim 18 inci
- Harga asal: ₩46.95 juta (RM143,567)
- Harga akhir: ₩37.81 juta (RM115,618)
Termasuk:
- ₩5.6 juta (RM17,126) subsidi berkaitan diskaun pengeluar
- ₩540 ribu (RM1,650) subsidi pemerintah Seoul
- ₩3 juta (RM9,174) diskaun Hyundai
Kona Electric 2WD Standard rim 17 inci
- Harga asal: ₩41.42 juta (RM126,694)
- Harga akhir: ₩31.52 juta (RM96,412)
Termasuk:
- ₩5.44 juta (RM16,635) subsidi pemerintah berkaitan diskaun pengeluar
- ₩460 ribu (RM1,406) subsidi pemerintah Seoul
- ₩4 juta (RM12,231) diskaun Hyundai
Polisi subsidi berkaitan diskaun pengeluar membolehkan pemerintah Korea Selatan memberikan bantuan kewangan tambahan berdasarkan tahap diskaun yang ditawarkan oleh pengeluar.
Selain diskaun, Hyundai turut menawarkan kredit pengecasan EV berjumlah 800,000 won (RM2,446) untuk pembeli Ioniq 5, Ioniq 6 dan Kona Electric di bawah program 2025 EV Every Care.








